Cabaran membawa peti undi ketika Pemilu 2019.
JAKARTA: Indonesia akan mengadakan pilihan raya Rabu ini melibatkan pengagihan peti undi dengan menggunakan bot, kapal terbang, kuda dan gajah merentasi kepulauan luas di negara itu.
Hampir 205 juta layak mengundi dalam pilihan raya presiden, parlimen dan wilayah dalam tempoh enam jam pengundian dengan pegawai bersiap sedia menghadapi kemungkinan hujan lebat, serangan siber dan penipuan.
Menurut Utusan Malaysia, pilihan raya itu akan diadakan di tiga zon waktu, bermula di wilayah paling timur Papua di mana pemberontakan maut terhadap tentera sering berlaku.
“Pengagihan logistik dan pengundian akan berlaku pada musim hujan. Kami berharap yang terburuk tidak akan berlaku,” kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Umum, Hasyim Asyari kepada pemberita.
Beribu-ribu sukarelawan dipanggil untuk menyusun kertas undi, dan 800,000 pusat mengundi akan dikendalikan oleh lebih lima juta sukarelawan.
Kira-kira 1.7 juta pengundi luar negara sudah mula membuang undi termasuk yang berada di Malaysia.
Di wilayah Aceh Sumatera, pegawai pilihan raya wilayah merancang menggunakan gajah untuk membawa peti undi sekali lagi selepas mengarahkan penggunaan haiwan berkenaan untuk tugas tersebut pada Plilihan Raya Umum (Pemilu) 2019.
Kuda akan digunakan di sudut tenggara pulau Jawa, di mana pegawai menyediakan sekurang-kurangnya tiga ekor kuda jantan untuk mengangkut peti undi ke kampung terpencil yang hanya mempunyai 160 orang sekiranya berlaku cuaca buruk.
“Jalannya sangat sukar untuk dicapai jadi kami terpaksa menggunakan kuda,” kata jurucakap suruhanjaya pilihan raya tempatan Jawa Timur, Ahmad Hanafi.
Di wilayah Lampung di pulau Sumatera, kereta lembu akan digunakan di sekurang-kurangnya empat kampung untuk membawa peti undi melalui landasan lumpur menuju pusat pengundian.
“Logistik akan diagihkan dengan kereta yang ditarik oleh seekor lembu. Ini adalah satu-satunya cara pengangkutan yang boleh kami gunakan,” kata pegawai kawasan itu.
Bot laju akan mengambil peti undi dari Jakarta ke pulau-pulau di luar pantai Jawa, manakala tentera berkata, kapal perang sudah didaftarkan untuk membantu menghantar undi.
Agensi keselamatan siber negara itu turut mewujudkan pasukan petugas pilihan raya untuk melindungi undi daripada penggodaman.
































