Polis mengesahkan tiga premis kerajaan, termasuk Menara MBJB di Johor Bahru menerima ancaman bom
JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan tiga premis kerajaan di kawasan Johor Bahru Selatan menerima e-mel ancaman bom daripada individu sama, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, antara premis itu adalah Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), namun tidak mendedahkan dua lagi premis yang terlibat.
Menurutnya, e-mel tersebut merupakan e-mel sama dihantar daripada individu sama yang berpangkalan di luar negara.
“Nampaknya pengirim e-mel tersebut tidak spesifik kepada satu-satu tempat sahaja, sebaliknya secara umum,” katanya selepas mengetuai pemeriksaan keselamatan di Menara MBJB, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau memaklumkan pihaknya telah melakukan pemeriksaan di kesemua 22 tingkat Menara MBJB dan tidak mengesan sebarang objek mencurigakan.
Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman memaklumkan, lebih 500 kakitangan diarah keluar bangunan tengah hari tadi.
“MBJB telah menerima satu e-mel yang mengandungi unsur ancaman bom daripada individu mendakwa bernama Takahiro Karasawa dengan nama e-mel (takahiro-karasawa@akita-h-story.jp) pagi ini.
“Susulan penerimaan e-mel tersebut, MBJB telah membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan. Arahan pengungsian bangunan dan berkumpul di lokasi menunggu telah dikeluarkan kepada seluruh anggota MBJB dan orang awam kira-kira pukul 12 tengah tadi,” jelasnya.
































