Oleg Kononenko
MOSCOW: Angkasawan dari Russia, Oleg Kononenko mencipta rekod dunia baharu untuk tempoh paling lama yang dihabiskan di angkasa lepas.
Menurut Utusan Malaysia, Sky News melaporkan, lelaki berusia 59 tahun itu mencatatkan jumlah kumulatif lebih 878 hari dan 12 jam berada di luar atmosfera bumi pada pagi Ahad lalu.
Jumlah itu bersamaan dengan hampir dua tahun enam bulan.
Kejayaan Kononenko itu sekali gus mengatasi rekod dipegang rakan senegara Gennady Padalka yang mencatatkan selama 878 hari di orbit.
Kononenko meraikan pencapaian itu di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang sudah dikunjunginya sebanyak lima kali sejak 2008.
“Saya mengembara ke angkasa lepas bukan untuk mencatat rekod sebaliknya melakukan apa yang saya gemari.
“Sejak kecil lagi, saya mengimpikan dan bercita-cita untuk menjadi angkasawan apabila besar.
“Minat itu yang mendorong saya untuk terus mengembara ke angkasa lepas,” kata Kononenko kepada agensi berita TASS.
Menurut Kononenko, dua berasa bangga dengan semua pencapaian dan kejayaan yang dikecapinya.
“Namun, saya lebih berbangga kerana rekod untuk jumlah tempoh tinggal manusia di angkasa lepas masih dipegang oleh angkasawan Russia,” katanya.
Dilaporkan, Kononenko dijangka mencapai jumlah 1,000 hari di angkasa lepas pada 5 Jun depan.
Malah, dia juga dijangka mencatatkan 1,110 hari menjelang akhir September depan, jumlah bersamaan dengan lebih tiga tahun.
Pengembaraan semasa Kononenko ke ISS bermula pada 15 September tahun lalu apabila dia berlepas bersama rakan senegaranya, Nikolai Chub dan angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Loral O’Hara.


































