Pasukan kempen Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming mengadakan sidang akhbar di Jakarta.
JAKARTA: Pasukan kempen gandingan calon Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming mengesyaki kemungkinan berlaku kepincangan pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 yang akan diadakan minggu depan.
Menurut Utusan Malaysia, Detik News melaporkan, kepincangan itu didakwa membabitkan penipuan dalam sistem pengundian yang berpotensi berlaku di Pusat Mengundi Luar Negara (TPSLN) di Malaysia yang melibatkan Jawatankuasa Pilihan Raya Luar Negara (PPLN) dan kakitangan Kedutaan Indonesia.
“Kami mengesyaki aktiviti pengundian ini melibatkan pegawai PPLN dan kakitangan Kedutaan Republik Indonesia di Malaysia.
“Justeru, kami meminta Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) meneliti perkara tersebut, malah kami juga akan membuat laporan rasmi kepada Bawaslu Indonesia,” kata Timbalan Pengerusi jawatankuasa kempen, Habiburokhman.
Menurut Habiburokhman, pihaknya menerima maklumat berhubung dakwaan penipuan itu dalam bentuk gambar dan rakaman video.
Dakwa beliau, kertas undi telah ditandakan untuk gandingan calon Ganjar Pranowo dan Mahfud MD.
“Kami menerima maklumat boleh dipercayai mengenai dakwaan penipuan aktiviti mengundi ribuan kertas undi untuk pengundi luar negara di Malaysia.
“Maklumat ini disertakan dengan bukti beberapa gambar dan video yang menunjukkan sejumlah individu mengundi pada kertas undi pemilihan legislatif dan presiden untuk calon Ganjar-Mahfud,” katanya.
Susulan itu, Habiburokhman menggesa semua pihak melaksanakan demokrasi secara beretika dan jujur.
Beliau juga memberi amaran supaya tidak melakukan penipuan dalam proses pengundian pilihan raya.
“Jangan melakukan penipuan dan mewajarkan sebarang cara semata-mata untuk mencapai kemenangan.
“Kami bersama rakyat akan menentang segala bentuk penipuan di mana sahaja dan tanpa mengira siapapun pelakunya,” katanya.


































