Hannah Yeoh
PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, atlet yang tersenarai dalam program Road to Gold (RTG) sudah diberikan segala sokongan yang diperlukan.
Menurut Utusan Malaysia, Hannah berkata, ketika ini segala-galanya terletak di tangan atlet itu sendiri untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan seterusnya merealisasikan impian emas pertama negara.
“Sekarang tidak timbul soal duit tidak cukup untuk latihan dan tidak cukup sokongan kerajaan. Beberapa bulan lepas, semua sokongan yang atlet perlukan kita sudah bagi.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga sudah berikan bajet yang mencukupi untuk RTG. Jadi, sekarang bukan persoalan tidak cukup duit sebab semua sudah diberikan.
“Sekarang sehingga Paris (Olimpik 2024), semua di tangan atlet. kena menyerlah dan bersemangat untuk dapatkan emas,” kata Hannah ketika ditemui pemberita, Selasa.
Ditanya mengenai Datuk Pandelela Rinong yang terlepas tiket ke Olimpik Paris bagi acara 10 meter (m) platform individu wanita, Hannah enggan mengulas lanjut kerana mahu menunggu proses kelayakan berakhir dahulu.
“Dalam RTG sekarang, atlet masih ada kelayakan ke Paris dan syarat untuk sertai RTG adalah pemenang pingat edisi terdahulu dan Pandelela masuk kategori itu selain berada di kedudukan 10 terbaik di dunia.
“Dalam proses kelayakan, kita kena terima ada yang layak dan ada yang tidak. Ini adalah sukan, jadi kita harap seperti yang disarankan Chong Wei (Datuk Lee Chong Wei) semua atlet kena fokus 120 peratus.
“Mereka kena jadikan ini (meraih emas) bukan impian kita semata-mata, tetapi adalah impian mereka sendiri untuk merangkul emas di temasya berprestij itu,” katanya.
Ketika ini, hanya jaguh pecut berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berada prestasi terbaik dalam kalangan atlet RTG apabila meraih emas dalam acara keirin di Piala Negara-Negara Berbasikal Trek UCI di Adelaide.


































