Mohd. Uzir Mahidin (kanan) memberi penerangan kepada pengunjung berkait pengisian data PADU Pusat Ekonomi Digital (PEDI) Mahligai, Bachok, Kelantan, kelmarin.
BACHOK: Seramai 2.69 juta rakyat negara ini sudah mengemaskini maklumat peribadi mereka dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sejak ia diperkenalkan oleh kerajaan 2 Januari lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, melihat kepada situasi itu pihaknya yakin hasrat kerajaan untuk melihat seluruh rakyat negara ini mengemaskini PADU akan menjadi sebelum tarikh akhir 31 Mac nanti.
Menurutnya, PADU sudah mempunyai 30 juta senarai nama dan maklumat rakyat negara ini yang dikumpulkan dari pelbagai agensi, namun memerlukan pengesahan serta kemaskini semula maklumat.
“Aspek keselamatan data adalah fokus utama kerajaan dan rakyat tidak perlu risau soal itu. Sebaliknya, mereka hanya perlu kemaskini maklumat seperti status perkahwinan dan pekerjaan semasa supaya kita dapat maklumat terkini yang tepat.
“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan terus turun ke lapangan untuk membantu warga emas, Orang Asli dan penduduk kawasan pedalaman mengisi serta mengemaskini PADU,” katanya ketika ditemui pada program lawatan di Pusat Ekonomi Digital (PEDI) Mahligai, di sini, kelmarin.
Mengulas mengenai keluhan Orang Asli berkait dengan PADU, Mohd. Uzir memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan pimpinan masyarakat terutama Tok Batin.
Katanya, DOSM akan menyediakan pasukan khas di semua pos penempatan Orang Asli bagi melancarkan kerja-kerja mengisi dan mengemaskini PADU.
“Pada masa sama, kita juga akan turun penjagaan orang tua bagi menjayakan usaha kerajaan. DOSM turun menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan pusat, negeri termasuk pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pejabat wakil rakyat,” ujarnya.


































