Pantai Taman Sembawang di Singapura.
SINGAPURA: Orang ramai dinasihatkan agar tidak berenang di Pantai Pasir Ris dan Pantai Taman Sembawang sehingga dimaklumkan kelak ekoran bacaan tahap bakteria yang tinggi di dalam air.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu dimaklumkan oleh Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) menerusi satu kenyataan.
NEA turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam aktiviti air seperti wakeboarding, windsurfing dan latihan rendaman air di kedua-dua pantai tersebut.
“Aktiviti sukan air yang lain seperti berlayar, berkayak dan berkanu boleh diteruskan seperti biasa,” jelas NEA.
Menurut agensi itu, aktiviti primer dalam sukan air melibatkan seluruh badan atau muka dan tubuh kerap terendam hingga berkemungkinan menyebabkan air ditelan.
Dalam penilaian pantai tahunan terkini, Pantai Sembawang Park dan Pasir Ris mencatat tahap sederhana, menurun daripada tahap baik pada tahun sebelumnya.
Bacaan lebih kerap menunjukkan kehadiran bakteria Enterococcus (EC) yang tinggi di dalam air, yang meningkatkan risiko jangkitan gastrousus apabila air itu ditelan.
EC merupakan sejenis bakteria yang biasanya ditemukan dalam saluran pencernaan haiwan berdarah panas dan manusia.
Tambah agensi itu, beberapa papan tanda menasihatkan orang ramai supaya tidak berenang di kedua-dua pantai berkenaan akan dipasang dalam masa terdekat.
Menurut NEA, siasatan awal mendapati tahap bakteria yang tinggi berpunca daripada sumber pedalaman dan tidak bersifat rentas sempadan.
“Pihak kami ketika ini sedang bekerjasama dengan agensi lain seperti Lembaga Kemudahan Awam (PUB), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk menyiasat dan mengurangkan sumber yang mungkin menyumbang kepada peningkatan paras bakteria,” jelas NEA.
Selain Pasir Ris dan Taman Sembawang, lima lagi pantai iaitu Pantai Timur, Changi, Punggol, Pulau Seletar dan Sentosa mencatat tahap baik dan sesuai untuk semua aktiviti sukan air.
































