Gambar hiasan.
BEIJING: Seorang pemilik syarikat trak di China mengaku memasang peranti sistem kedudukan global (GPS) pada kereta peronda polis di kawasannya bagi membantu menjejaki dan mengelakkan lori miliknya daripada ditahan.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, wanita dikenali sebagai Zhu dari Xiangyang, wilayah Hubei ditahan reman selama lapan hari dan didenda sebanyak 500 yuan (RM327.88) kerana melakukan kesalahan yang sangat serius.
Kesalahan itu merupakan menjejaki pergerakan kereta peronda polis dengan bantuan peranti GPS yang tersembunyi.
Taktik wanita itu terbongkar ketika pasukan penguat kuasa trafik Xiangyang melakukan pemeriksaan rutin pada kereta peronda mereka.
“Semasa pemeriksaan, pasukan penguat kuasa trafik menemukan sebuah kotak hitam misteri yang melekat pada casis salah sebuah kereta peronda mereka.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendedahkan kotak itu mengandungi penjejak GPS yang kemudiannya ditemukan pada enam daripada 11 kereta peronda trafik.
“Dengan mengikut jejak kad SIM dikaitkan dengan peranti pengesan, pihak berkuasa berjaya mencari Zhu yang kemudian mengaku menjejaki kereta peronda trafik,” jelas laporan.
Dalam pada itu, Zhu berkata, dia memasang peranti GPS pada kereta peronda trafik bagi membantu pemandu lori syarikatnya mengelak daripada ditahan dan kemungkinan dikenakan saman.
Wanita itu turut mengaku memasang penjejak GPS secara sendiri pada kereta peronda trafik yang diparkir lewat malam di stesen Xiangzhou.
Katanya, dia membeli enam penjejak GPS magnetik pada harga 350 yuan (RM230) pada Jun tahun lalu dan menggunakan peranti berkenaan untuk menjejak kereta peronda melalui aplikasi telefonnya sejak akhir bulan lalu.
Jelas Zhu, dia dapat mengenal pasti lokasi kereta peronda trafik dan memberi amaran kepada pemandunya untuk mengelak daripada ditahan penguat kuasa.


































