Makan kebab terlalu banyak turut mencetus panggilan kecemasan kepada Perkhidmatan Ambulans Wales.
CARDIFF: Makan terlalu banyak kebab, kehilangan gigi palsu dan tangan tersekat di kotak peti surat merupakan antara panggilan bantuan aneh yang diterima Perkhidmatan Ambulans Wales menerusi data maklumat yang didedahkan baru-baru ini.
Beberapa lagi masalah remeh seperti hilang suara dan cincin tersangkut di jari turut mendorong panggilan kecemasan yang tidak sesuai kepada perkhidmatan tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, perkhidmatan itu melaporkan menerima 414,149 panggilan tahun lepas dan daripada jumlah itu, 68,416 melibatkan masalah bukan kecemasan.
Jumlah tersebut mencatat purata kira-kira 188 panggilan sehari hingga mendorong badan tersebut memberi amaran kepada penduduk untuk hanya mendail talian 999 bagi meminta bantuan paramedik segera jika seseorang itu sakit tenat atau cedera sahaja.
Pengarah Eksekutifnya, Andy Swinburn berkata, panggilan yang tidak sesuai memberi tekanan tambahan kepada perkhidmatan yang sudah terlalu sibuk itu.
“Rayuan kami kepada orang ramai adalah untuk menggunakan akal fikiran anda. Kebanyakan orang tahu perbezaan antara kecemasan sebenar dan sesuatu yang tidak selesa, menyakitkan atau menjengkelkan tetapi tidak mengancam nyawa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah eksekutif operasinya, Lee Brooks menegaskan, perkhidmatan itu memerlukan orang ramai untuk mengambil sedikit akauntabiliti untuk kesihatan dan kesejahteraan mereka berikutan perluasan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).
“Kami tahu ia mengelirukan untuk mengakses perkhidmatan NHS kerana ada yang tidak tahu apa yang dibuka, bila dan profesional penjagaan kesihatan mana yang paling sesuai untuk membantu.
“Untuk jangka panjang, cita-cita kami adalah memperkukuh sistem NHS yang lebih luas untuk membantu pesakit menavigasi laluan yang betul kepada perkhidmatan yang paling sesuai, termasuk pertanyaan kesihatan bukan kecemasan,” jelasnya.


































