Pemain Strasbourg, Abakar Sylla gagal menghalang Kylian Mbappe dalam saingan Ligue 1, kelmarin.
PARIS: Real Madrid yakin Kylian Mbappe sanggup menerima tawaran gergasi Sepanyol itu selepas laporan Le Parisien menyatakan pemain itu tidak akan bersama Paris Saint Germain (PSG) pada hujung musim ini.
Bagaimanapun penyokong Real masih sangsi dengan laporan tersebut berikutan banyak spekulasi palsu mengenai pemain berusia 25 tahun itu.
Namun, ada tanggapan pemain itu sudah jemu bermain dalam Liga Perancis, malah bergelut untuk mencari penajaan baharu televisyen yang dilihat tidak sesukar itu di Real.
Menurut Utusan Malaysia, PSG menafikan Mbappe ada memberitahu tentang keputusan masa depannya, namun ia bukan lagi rahsia apabila pemain itu tidak menunjukkan minat berunding tentang kontrak baharu hujung musim ini.
Real sebelum ini menukar taktiknya untuk membawa masuk pemain yang memenangi Piala Dunia bersama negaranya itu, selepas kebangkitan prestasi yang ditunjukkan Vinicius dan Jude Bellingham.
Sekiranya Mbappe menyertai Real, bermakna dia perlu bersaing dengan dua bintang hebat berkenaan.
Namun, keinginan Mbappe untuk meninggalkan PSG memberi bayangan dia bersedia mengadakan rundingan dengan kelab Sepanyol itu.
Pada masa sama, Real masih mampu menawarkan tawaran kontrak yang akan menjadikan Mbappe penerima gaji paling tinggi berbanding pemain lain.
Selain gaji, pemain itu juga berpeluang menjana pendapatan berganda daripada sumber lain yang akhirnya akan mengatasi pendapatan Bellingham dan Vinicius.
Real juga dikatakan sanggup menukar perjanjian 50 peratus hak pengiklanan kepada nisbah 60:40 jika pemain itu berhijrah ke Sepanyol.
Real sebelum ini pernah cuba untuk mendapatkan Mbappe sebanyak dua kali, namun tidak berhasil yang menyaksikan penyerang Perancis itu memperbaharui kontrak untuk tempoh dua tahun pada Mei 2022.
Gergasi Sepanyol itu difahamkan telah mengemukakan satu lagi tawaran kepada Mbappe bulan lalu, dan Mbappe telah pun menolak gaji besar berjumlah 72 juta euro (RM367 juta) berserta bonus 100 juta euro (RM510 juta) daripada PSG untuk meninggalkan pasukan itu sebagai ejen bebas.
Terdahulu, Mbappe membantu PSG menjaringkan gol ketika menewaskan Strasbourg 2-1 dalam aksi Ligue 1 pada Jumaat.


































