Anwar melakukan gimik pelancaran HPPK Peringkat Kebangsaan 2023, sambil diperhatikan oleh Hajiji (dua kanan), Ewon (tiga kiri) dan Armizan (kanan)
PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melaksanakan Projek Tamu Desa dengan peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan 2024, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Cadangan Ewon (Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) supaya dana RM20 juta itu dikendalikan oleh KUSKOP, saya setuju.
“Daripada RM20 juta itu, RM1 juta diberikan untuk pengurusan dan pembangunan penjaja dan peniaga kecil (Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat kebangsaan),” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023, di Buhavan Square, di sini, hari ini.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil yang telah memberi dukungan serta sumbangan kepada pertumbuhan sektor ekonomi negara.
Beliau turut menyatakan mengenai keperluan untuk membangunkan warung serta gerai rakyat yang bersih dan indah sekali gus menjadi tarikan yang berkesan kepada pengunjung dan pelancong di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu Perdana Menteri meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara merealisasikan usaha ini kerana sebahagian besar rakyat atau pelanggan masih memilih lokasi berkenaan ketimbang restoran-restoran mewah.
“Harus ada tekad daripada semua pihak untuk memastikan negara kita dikenali dengan warung, gerai dan restoran bersih sebagai mercu tanda, tidak hanya gedung pencakar langit atau hotel lima bintang semata.
“Selain itu, kita juga harus memberi tumpuan kepada keindahan landskap taman di setiap bandar, lalu mengekalkan bangunan-bangunan yang punyai nilai sejarah di negara ini dalam membangun kota warisan.
“Langkah ini penting bagi terus mempertahan nilai sejarah dalam setiap projek raksasa yang ingin dijalankan, selain memastikan pelan pembangunan direncana dengan baik demi memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu dalam sidang media selepas majlis itu, Ewon merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas komitmen kelulusan untuk kementeriannya melaksanakan Projek Tamu Desa seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024.
“Dengan demikian kementerian boleh menjadi pelengkap kepada usaha untuk menyediakan gerai-gerai keusahawanan untuk penjaja dan peniaga-peniaga kecil di luar bandar.
“Sebahagian daripada peruntukan tersebut iaitu RM1 juta, kita akan salurkan kepada pengurusan dan pembangunan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Peringkat Kebangsaan.
“Ini merupakan pengumuman yang sangat positif dan kami di kementerian akan terus komited memperkasakan lagi perkhidmatan kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara,” katanya.
Terdahulu itu ketika berucap, Ewon berkata, komitmen Perdana Menteri memperjuangkan nasib komuniti penjaja dan peniaga kecil terserlah melalui peruntukan besar bagi menyediakan kiosk-kiosk penjaja yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.
“Bagaimanapun, komuniti penjaja dan peniaga kecil di kawasan luar bandar juga memerlukan pembelaan yang sama. Mereka berjualan di tamu-tamu tradisi, tamu mingguan dan tepi-tepi jalanraya yang sudah pastinya menginginkan kemudahan gerai dan tamu desa yang lebih baik.
“Sebab itulah saya dan kami di KUSKOP telah mengemukakan cadangan projek Tamu Desa kepada Kementerian Kewangan semasa sesi libat urus penyediaan belanjawan agar penyediaan dan penaiktarafan kemudahan gerai keusahawanan dapat disediakan dalam Belanjawan 2024.
“Mewakili komuniti penjaja dan peniaga kecil, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri kerana meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta dalam Belanjawan 2024,” katanya.
Ewon berkata, tahun ini, KUSKOP telah memperkenalkan Pelan Strategik Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil, Pelan Pemformalan Usahawan Informal dan Garis Panduan Perniagaan Daripada Rumah sebagai antara inisiatif membangunkan daya saing komuniti penjaja dan peniaga kecil.
“Selain itu, KUSKOP juga mengaktifkan semula Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan sebagai platform libat urus di antara Kerajaan dengan komuniti ini.
“Untuk ini, saya memohon agar YAB Perdana Menteri dapat mendokong inisiatif-inisiatif KUSKOP dengan peruntukan pembangunan bagi hal-ehwal penjaja dan peniaga kecil.
“Sungguhpun portfolio hal ehwal penjaja dan peniaga kecil telah dipindahkan daripada KPDN kepada KUSKOP pada pentadbiran yang lepas, namun pemindahan ini tidak disertai dengan dokongan belanjawan yang menjadi cabaran besar setiap kali saya dan warga Kementerian turun padang mencaknai isu, cabaran, keperluan dan harapan komuniti penjaja dan peniaga kecil,” katanya.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali serta Ahli-ahli Kabinet Sabah yang lain.
Sementara itu, Ewon berkata, Pelan Pembangunan Penampang 2024 – 2035 yang dilancarkan sempena perasmian Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023, oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi input penyediaan rancangan pembangunan kerajaan peringkat negeri dan persekutuan di kawasan ini.
Beliau berkata, beliau komited menjayakan pelan pembangunan itu dengan adanya sokongan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah.
“Penyediaan pelan ini dijayakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah melibatkan kajian dan sesi libat urus dengan rakyat Penampang dalam tempoh enam bulan menggunakan peruntukan saya sebagai Ahli Parlimen tahun ini.
“Inilah pendekatan saya untuk menguruskan pembangunan di kawasan Penampang dengan lebih terancang dan bersepadu.
“Dengan peluncuran pada hari ini, saya berharap semua kementerian, jabatan dan agensi dapat menjayakan wawasan saya ini serta harapan rakyat Penampang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada siding media selepas perasmian Karnival HPPK Peringkat Kebangsaan 2023, di Buhavan Square, di sini, hari ini.
Sambutan Karnival HPPK Peringkat Kebangsaan 2023 itu dianjurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ewon berkata, dengan pelancaran Pelan Pembangunan Penampang, beliau akan menyusuli semua kementerian, jabatan dan agensi kementerian berkenaan yang terkait dalam pelaksanaan pelan pembangunan itu.
“Saya akan usahakan inisiatif ini secara konsisten bagi mendapatkan seberapa banyak kemudaan yang diperlukan oleh rakyat Penampang seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Penampang.
“Dengan peruntukan permulaan sebanyak RM2 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, saya peraya ia boleh menyelesaikan beberapa keperluan kecil di kawasan ini,” katanya.
Terdahulu itu ketika berucap, Ewon memohon peruntukan khas kepada Perdana Menteri untuk memulakan projek berskala kecil dan sederhana yang boleh memberi manfaat segera kepada rakyat Penampang.
“Antaranya penyelenggaraan dan pembaikpulihan parit, sungai dan kerosakan akibat banjir, pembinaan jalan baharu terutama daripada Kg. Timpangoh Babagon ke Kg. Putaton Inobong, pembangunan rumah-rumah ibadat dan pembinaan asrama-asrama desa untuk pelajar-pelajar-pelajar di beberapa sekolah di Penampang,” katanya.
Ewon berkata, bagi projek-projek berskala besar seperti tebatan banjir, pembinaan sekolah baharu, pembinaan semula dewan masyarakat, pembangunan pekan Kepayan, penaiktarafan kemudahan uitili dan pembangunan-pembangunan lain beliau akan susuli secara bertulis dan konsisten dengan kementerian berkenaan.
“Saya juga berharap projek-projek tertangguh yang kini dalam proses perolehan dan konsultansi seperti Tamu Donggongon, Klinik Kesihatan, Bekalan Air Luar Bandar Moyog, naiktaraf jalan dan lampu jalan dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata, keperluan pembangunan itu perlu dilaksanakan sesuai dengan kecepatan pembangunan Penampang sebagai “second city to Kota Kinabalu” dalam konteks Greater Bandaraya Kota Kinabalu serta penaiktarafan Majlis Daerah Penampang sebagai Majlis Perbandaran.