Hajiji bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif serta peserta Karnival Belia Sabah.
KOTA KINABALU: Pembangunan belia kekal menjadi keutamaan Kerajaan Negeri seperti yang dicerminkan oleh peruntukan RM16.89 juta dalam Belanjawan Negeri tahun depan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, jumlah itu lebih tinggi sedikit berbanding bajet tahun ini, yang menyaksikan RM16.42 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia meliputi aktiviti sukarela dan perpaduan sosial.
“Peruntukan yang lebih tinggi untuk tahun hadapan jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk membangunkan belia Sabah sebagai pemimpin masa depan.
“Pada 2024, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pelbagai program termasuk aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan bagi memperkasakan belia selaras dengan Dasar Belia Sabah,” katanya pada Karnival Belia Sabah 2023 peringkat negeri yang julung kali di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Hajiji diiringi Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin menyampaikan Anugerah Belia Perdana Sabah kategori lelaki kepada pemenangnya, Azizul Julirin
Hajiji berkata, tahun lepas Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta untuk memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Skim Jaya Usahawam Belia Sabah (SYABAS), memandangkan golongan belia adalah aset dan mesti diberi peluang dalam pembangunan ekonomi negeri.
SYABAS merupakan satu inisiatif untuk membantu usahawan belia dalam memulakan dan memulihkan perniagaan mereka daripada kesan Covid-19. Sehingga Oktober tahun ini, 2,655 belia telah menerima RM2,000 setiap seorang dan 238 lagi diberi RM5,000 setiap seorang daripada skim itu.
Ketua Menteri berkata, selain memberi tumpuan kepada sektor utama di bawah rancangan Hala Tuju Sabah Maju Jaya untuk merangsang pertumbuhan dan pemulihan ekonomi, penekanan turut diberikan kepada teras kedua pelan itu iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

Hajiji dalam wefie bersama beberapa peserta Karnival Belia Sabah
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM44 juta melalui 10 inisiatif untuk membantu belia melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi swasta dan awam.
“Melalui semua inisiatif dan peruntukan yang ada untuk belia, saya berharap kita dapat mencapai sasaran memastikan belia meningkatkan potensi mereka dan dapat bersaing di peringkat global, memperoleh pendidikan yang lebih baik yang membuka peluang yang lebih besar untuk mereka dan lebih tahan menghadapi cabaran sebagai serta lebih kreatif untuk mengukir peluang baharu,” katanya.
Beliau mengingatkan slogan, “Belia Sabah Maju Jaya” akan sentiasa relevan selaras dengan slogan Sabah Maju Jaya kerana ia merangkumi semangat dan aspirasi untuk membangunkan Sabah dan mengharumkan nama negeri.

Hajiji diiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin menyampaikan Anugerah Belia Perdana Sabah kategori wanita kepada pemenangnya, Alesyah Asa.
“Ia juga mencerminkan hasrat kita untuk terus maju dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, budaya dan sosial khususnya dalam kalangan belia,” katanya.
Hajiji berkata, Karnival Belia Sabah merupakan salah satu program penting dalam menghargai peranan belia dalam pembangunan negeri, sambil menambah ia adalah platform untuk memupuk semangat kepimpinan dalam kalangan generasi muda.
Ketua Menteri memberi jaminan Kerajaan Negeri akan meneliti permohonan bantuan Majlis Belia Sabah untuk menganjurkan program jerayawara belia bagi tahun 2024, jika ia belum dipertimbangkan untuk peruntukan tahun depan.
































