Ayahanda, Tun Juhar serta bonda, Toh Puan Norlidah (kiri) memulai upacara merenjis pengantin, Al Hambra dan Scarlett.
KOTA KINABALU: Majlis Resepsi Kedua Anak Sulung Yang di-Pertua Negeri Sabah iaitu Brigedier Jeneral Datuk Al Hambra Juhar dihadiri kira-kira 2,000 tetamu.
Upacara merenjis kedua mempelai, Al Hambra, 40, serta isteri, Datin Scarlett Suhaili Sambinding, 44, dimulakan oleh ayahanda, Tun Juhar Mahiruddin dan bonda, Toh Puan Norlidah R.M Jasni diikuti oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abdul Rahman dan seterusnya, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Khadijah Mohd Nor.
Upacara tersebut juga disertaiKetua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag disusuli oleh Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut merenjis, Undang Luak Johol Negeri Sembilan Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah dan isteri, Toh Puan Faridah Hanum Jaafar dan tetamu dari Brunei Darussalam Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Datuk Paduka Seri Mejar Jeneral (B) Mohammad Jaafar Abdul Aziz dan isteri, Datin Salbiah Mohammad Yussof.
Hadir sama Speaker Dewan Negara Senator Tan Sri Wan Junaidi, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Husain bersama isteri masing-masing.
Dalam ucapan aluan anak menantu, Datuk Dr. Omar Raisul Assalam Syah Sulaiman Omar yang mewakili keluarga Tun Juhar, merakamkan ucapan terima kasih atas kesudian para tetamu memenuhi undangan serta komitmen yang tinggi dalam kalangan para petugas untuk menjayakan majlis berkenaan.
Selain jamuan makan malam, para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan berkonsep etnik Sabah serta persembahan khas oleh adinda, Datin Al Hanna Surya, 37, dengan tiga buah lagu, ”Never Enough”, “Rindu” dan “I Wanna Dance With Somebody”.
Tidak menghampakan tetamu, Al Hambra yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sempat mendendangkan sebuah lagu duet dengan Al Hanna berjudul “Senja Nan Merah”.
Selepas acara memotong kek perkahwinan, Al Hambra dan Scarlett memberikan lambaian mesra kepada semua tetamu sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas doa serta restu ke atas percintaan mereka berdua.
Al Hambra merupakan seorang aktivis masyarakat yang aktif dalam kerja amal menerusi Yayasan Nur Jauhar sejak ditubuhkan pada 13 Januari 2012, menjawat jawatan Komander Rejimen 507 Askar Wataniah sejak 21 Mac 2019, sebelum dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN pada 19 Jun lalu.
































