KOTA KINABALU: ADUN Karamunting, Datuk George Hiew (gambar) berharap pihak Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan (KKTP) dan Kementerian Kewangan dapat mengutamakan dan menyegerakan kerja baik pulih tapak tanah Pasar Karamunting.
Beliau berkata, Pasar Karamunting kini berada di dalam keadaan yang amat serius dan merbahaya.
“Tanah di kaki lima luar pasar dan tempat parking sudah mula pecah dan retak, dan banyak lagi masalah sampai penduduk Karamunting takut tapak di luar pasar ini akan runtuh pada bila-bila masa.
“Saya sudah bawa masalah ini ke Dewan Undangan Negeri (DUN) ini berkali-kali. Penduduk Karamunting masih lagi sedang menggunakan pasar ini, jadi ini melibatkan keselamatan rakyat kita. So this should be our priority.
“Buat masa sekarang, kerja-kerja untuk buat kajian ke atas tapak tanah ini telah pun dibuat,” katanya ketika membahas Belanjawan Sabah 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.
Pokok Dan Lampu Jalan Cecily
Hiew turut membangkitkan tentang lampu jalan dan pokok besar di Jalan Cecily, di mana dalam masa beberapa bulan ini sahaja, ada tiga kes pokok tumbang ke atas jalan raya ekoran cuaca buruk.
“Ada sekali, sebuah kereta MyVi melanggar belakang satu lori kerana mahu berhenti secara tiba-tiba untuk mengelak pokok tumbang…mujur tiada kemalangan jiwa.
“Ada banyak lagi pokok-pokok besar yang boleh tumbang ke atas jalan raya di Jalan Cecily pada bila-bila masa ketika ini dan ini amat bahaya kepada pemandu dan penduduk sekitar,” katanya, sambil berharap pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di bawah KKTP dan juga pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) boleh menebang pokok-pokok besar ini secepat mungkin.
Pada masa yang sama, katanya, keadaan Jalan Cecily ini sangat gelap kerana ketiadaan lampu jalan.
“Ada lampu jalan pun rosak. Jadi saya harap pihak JKR dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. dapat mengambil tindakan segera. Sekali lagi saya tekankan, apabila melibatkan public safety, it must become our priority,” katanya.
Pasir Putih
Hiew juga berharap pihak MPS boleh menjadikan Pasir Putih sebagai pantai yang bersih sampah.
“Naik taraf kemudahan-kemudahan yang telah usang dan rosak, kerana Pasir Putih adalah pantai atau tempat rekreasi yang paling dekat dengan Bandar Sandakan.
“Kita mahu penduduk Sandakan dan juga pelancong ada satu tempat rekreasi yang cantik, bersih dan selamat,” ujarnya.
MPS
Hiew turut memohon agar pihak MPS mengutamakan penyelesaian masalah rakyat kerana buat masa sekarang, setiap kali ada masalah, bila ditanya, MPS akan jawab tidak cukup peruntukan, tidak cukup kakitangan.
“Tapi saya juga dapat tahu MPS ada peruntukan untuk tanam bunga dari Batu 8 hingga Batu 16. Kenapa peruntukan tidak digunakan untuk hal yang lebih penting dan lebih urgent seperti memotong rumput ikut jadual dan memotong pokok-pokok besar yang bahaya kepada pemandu?
“MPS seperti tidak set priority dengan betul.
“Saya berharap pihak KKTP akan mengambil perhatian tentang gerak kerja MPS kerana masalah-masalah yang di bawah MPS ini adalah masalah-masalah yang paling dekat dengan hati rakyat. Semua rakyat di Sandakan terkesan jika MPS tidak buat kerja dengan baik.
“Selesaikan masalah dahulu. Perbaiki kemudahan yang rosak. Potong rumput ikut jadual. Tebang pokok besar tepi jalan raya. Utamakan menyelesaikan masalah dahulu,” tegasnya.
Pelancongan
Menyentuh tentang pelancongan, Hiew berkata, Kementerian yang bertanggungjawab harus memastikan keselamatan pelancong, di samping menyelesaikan perkara-perkara buruk seperti sampah di pantai, laut dan juga masalah pengemis jalanan, terutamanya di tourist hotspot seperti di Semporna dan pulau-pulau.
“Kerajaan Negeri harus serius dalam perkara ini. Kementerian berkenaan beigtu aktif mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan, tapi tiada guna kalau akhirnya orang yang datang ke sini, balik ke negara mereka dan sebarkan imej yang buruk tentang Sabah,” katanya.
Menurut Hiew, ini penting kerana kebelakangan ini ada ramai pelancong dari China dan lain-lain negara yang datang ke Sabah dan mengkritik tentang beberapa perkara negatif seperti sampah di laut dan juga pengemis jalanan.
“Sekarang ini semua benda boleh dilihat oleh seluruh dunia menerusi media sosial seperti Facebook, Tik Tok dan Youtube. Jadi, apabila pelancong mengongsikan benda negative seperti ini di media sosial mereka, dan juga kawan-kawan mereka, mereka juga memberikan gambaran negatif tentang Sabah kepada seluruh dunia.
Education
Mengenai pendidikan, Hiew memohon agar Kerajaan Negeri membuka lebih banyak lagi tawaran kursus latihan dan pendidikan berkaitan dengan minyak dan gas di institute pengajian tinggi di Sabah, seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan MARA.
Katanya, ramai antara pekerja berkemahiran tinggi di dalam sector industri serta minyak dan gas datang daripada luar Sabah, sementara belia Sabah sendiri selepas SPM tidak mempunyai pekerjaan.
“Saya harap boleh perbanyakkan kursus teknikal, kemahiran dan sebagainya di Sabah supaya belia kita, selepas habis SPM, tidak payah pergi jauh untuk belajar dan selepas tamat pengajian mereka boleh terus dapat kerja di dalam Sabah juga, boleh menyumbang kepada pembangunan Sabah.
“Ini penting sebab sekarang, di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kita sedang rancak maju ke hadapan dengan jumlah pelaburan yang tinggi yang kita dapat. Saya harap, ini juga bermaksud, anak-anak Sabah yang akan dapat peluang pekerjaan. “Jadi, untuk memenuhi permintaan kepada pekerja berkemahiran tinggi di sini, kita sepatutnya melatih anak-anak Sabah kita sendiri untuk memenuhi permintaan pekerjaan ini. Anak-anak kita pun ada kerja dengan gaji yang lumayan,” katanya.
































