Juil Nuatim
KOTA KINABALU: ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim meminta kepada Kerajaan Persekutuan agar tidak memindahkan semula pegawai dan juga kakitangan berasal dari Sabah yang sudah bertugas di negeri ini ke Semenanjung.
Mengambil contoh, beliau berkata, pegawai daripada badan beruniform kerajaan seperti polis, bomba, tentera atau pun guru-guru berasal dari Sabah dipindahkan ke Sabah selepas berkhidmat lama di Semenanjung, dan kemudian mereka ditukarkan lagi ke Semenanjung setelah mencurahkan khidmat bakti yang cukup cemerlang di negeri ini.
“Adalah lebih baik kita kekalkan mereka ini kerana mereka lebih memahami aspirasi atau masalah orang Sabah. Kita tidak mahu apabila mereka sudah menunjukkan prestasi yang baik atau sudah dapat mengatasi permasalahan yang ada di Sabah ini, tiba-tiba mereka diarahkan lagi untuk berpindah semula ke negeri lain.
“Pada pendapat saya, ini akan merugikan anak tempatan Sabah kerana ada di kalangan mereka yang sanggup melepaskan jawatan mereka semata-mata tidak mahu dipindahkan semula ke negeri-negeri lain.
“Saya berharap Kerajaan Negeri Sabah boleh campur tangan supaya para pegawai tinggi Persekutuan ini dikekalkan atau pun dinaikkan pangkat sebagai ketua jabatan atau pengarah di bahagian kementerian persekutuan, seperti Pengarah Kastam, Ketua Polis Daerah, Ketua Balai Bomba dan sebagainya.
“Kita harus berikan peluang kepada anak-anak tempatan Sabah yang layak untuk memegang jawatan penting ini, dan saya pasti ramai yang layak. Contoh terbaik adalah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun, seorang anak jati Sabah dan berbangsa Dusun yang berasal dari Ranau. Saya ingin ucapkan tahniah atas pelantikan beliau dan saya amat berharap khidmat cemerlangnya akan terus memberi manfaat kepada negeri ini dan rakyatnya,” katanya ketika membahas Belanjawan Sabah 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Pertanian
Juil berkata, dalam membangunkan negeri, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Noor juga perlu membangunkan ekonomi di akar umbi.
Katanya, bagi menggerakkan ekonomi di akar umbi banyak bergantung kepada peruntukan kerajaan dan harga komoditi.
“Pada hakikatnya, isu keterjaminan makanan adalah permasalahan yang secara konsisten saya bangkitkan dalam setiap persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak saya dipilih menjadi wakil rakyat Limbahau kira-kira tiga tahun lepas.
“Boleh dikatakan setiap kali saya berbahas di Dewan mulia ini, saya berulang kali merayu Kerajaan Negeri agar mendengar rintihan pesawah di kawasan Limbahau terutamanya dari segi kekurangan jentera pembajak dan jentuai.
“Bukan meminta-minta, tetapi ternyata kekhuatiran saya selama ini telah menjadi kenyataan apabila masyarakat global bukan saja di Sabah, diuji dengan krisis kenaikan harga beras import. Memburukkan lagi krisis ini ialah kekurangan bekalan beras tempatan.
“Sabah dikenali dengan tanah suburnya yang luas, tapi malangnya berdasarkan statistik Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah sebelum ini, negeri kita mengimport 290,000 metrik tan beras pada 2021, tapi pengeluaran tempatan hanya 22,000 tan metrik sahaja.
“Dalam Belanjawan Negeri 2024, Menteri Kewangan telah menyebut bahawa bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras daripada 22 peratus tahun ini kepada 31 peratus pada tahun 2025, kerajaan telah menggariskan beberapa inisiatif, antaranya; pemulihan tanah sawah terbiar, pembangunan padi tanah kering, penambahan bilangan jentera pembajak jentuai, pemberian baja pada kadar optimum serta pemberian subsidi penjualan padi kepada semua pengusaha dengan peruntukan sebanyak RM5.16 juta,” ujarnya.
Pun begitu, beliau bberanggapan peruntukan bernilai RM5.16 juta ini adalah terlalu kecil.
“Jika kita teliti, dalam Belanjawan Negeri 2024, peruntukan keseluruhan untuk Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, adalah RM363.91 juta untuk perbekalan; dan RM189.6 juta lagi bagi pembangunan.
“Di kawasan saya Limbahau, rata-rata penduduknya adalah pesawah padi dan sejak sekian lama mereka berdepan masalah kekurangan mesin pembajak dan jentuai. Tanpa kedua-dua ini, sawah padi tidak dapat diusahakan dan petani tiada pendapatan.
“Saya bersyukur kerana setelah perjuangan yang lama, akhirnya permintaan pesawah padi di Limbahau ditunaikan apabila menerima tambahan tujuh lagi jentera membajak dan jentera penuai pada tahun ini. Begitu pun, jumlah ini belum mencukupi kerana sebelum ini, saya telah mengutarakan bahawa mereka memerlukan sekurang-kurangnya 10 jentera bagi menampung keperluan mereka,” katanya.
Juil berkata, isu kedua yang menjadi kekangan pesawah di Limbahau ialah isu saliran air ekoran pembinaan jalan raya di sekitar sawah padi ini.
“Meskipun ada usaha untuk menangani masalah ini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian, namun ia belum menyelesaikan isu saliran air ini secara tuntas.
“Jika semua ini dirancang serta dilaksanakan dengan baik dengan membantu petani-petani kita untuk meningkatkan hasil tani mereka dan akhirnya pendapatan mereka, saya pasti ekonomi di akar umbi ini akan subur,” jelsasnya.
Pembinaan Sekolah Menengah Limbahau
Juil turut memohon agar cadangan untuk pembinaan sekolah menengah di Limbahau diberikan perhatian sewajarnya oleh Kerajaan Negeri dan Kementerian Persekutuan.
Beliau berkata, Limbahau tidak mempunyai sekolah menengah, dan dengan kedudukan geografinya yang jauh daripada bandar dan pekan besar sekolah menengah berasrama juga diperlukan.
Katanya, jika diperincikan, pelajar-pelajar Limbahau buat masa ini terpaksa bersekolah di SMK Kinarut yang hanya ada kapasiti kira-kira 1,000 pelajar dan memandangkan ia melebihi kapasiti, dua sesi persekolahan terpaksa dilaksanakan dan asrama juga tidak dapat menampung keperluan penduduk yang sebilangannya daripada Limbahau.
“Rasanya ini sudah kali keempat saya mengemukakan keperluan mendesak daripada rakyat-rakyat Limbahau untuk pembinaan sekolah menengah ini. Pada sidang-sidang DUN terdahulu, saya menyatakan bahawa lokasi untuk sekolah menengah ini sudah pun dikenal pasti di Kampung Gana seluas 30 ekar.
“Untuk makluman, saya telah pun berhubung dengan Jabatan Pendidikan Sabah mengenai perkara ini, dan difahamkan, jabatan itu kekal dengan keputusannya untuk sekolah yang dicadangkan dibina di tapak yang sudah ditetapkan.
“Bagaimanapun peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan tidak dapat disalurkan selagi tapak ini masih menjadi hak milik Kerajaan Negeri. Oleh itu, pemindahan hak milik tanah ini kepada Persekutuan perlu dilakukan terlebih dahulu untuk peruntukan ini dapat disalurkan,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan agar pembinaan sekolah ini dapat direalisasikan menggunakan pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Kalau boleh, saya mahu sekolah ini dapat ini dibina dengan tanah ini dikekalkan hak miliknya dengan Kerajaan Sabah tanpa perlu diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Projek JENDELA di DUN Limbahau
Juil turut mengulangi keperluan untuk pembinaan menara telekomunikasi yang dirancang untuk tiga kawasan di Limbahau, iaitu Kg. Gana, Kg. Tanaki dan Kg. Mandalipau menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
“Saya berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kerana akhirnya, menara telekomunikasi baharu untuk Kg. Gana sudah pun beroperasi sepenuhnya sejak awal bulan September ini dan telah pun memberi manfaat kepada kira-kira 500 penduduk di kampung itu.
“Namun, nasib berbeza dihadapi oleh penduduk di dua lagi kampung iaitu, Kg. Tanaki dan Kg. Mandalipau. Mereka juga sudah lama memerlukan liputan internet yang lebih baik dan meluas. Difahamkan, pembinaan menara telekomunikasi untuk ketiga-tiga kampung ini dimasukkan dalam pakej pertama, jadi saya berharap pembinaan baki dua lagi menara telekomunikasi ini dapat disegerakan,” katanya.
Kesesakan Jalan Raya Di Jalan Kg. Mook
Juil turut memohon agar Kerajaan dapat menangani masalah kesesakan trafik di Jalan Kg. Mook, yang menjadi sumber kekecewaan pengguna jalan dan penduduk sekitar yang berpunca daripada pusingan-U menuju ke Kota Kinabalu.
“Memandangkan pusingan-U ini cuma ada satu dan terletak pula di lebuh raya, kereta berbaris panjang sudah menjadi pemandangan biasa di laluan ini khususnya apabila waktu puncak pagi dan petang.
“Laluan ini bukan hanya digunakan oleh penduduk sekitar tetapi juga pengguna jalan raya yang datang dari arah Kota Kinabalu, Penampang, Sipitang, Beaufort dan Menumbok, bahkan Brunei dan Sarawak.
“Kawasan sekitar Jalan Mook ini juga dikelilingi banyak kampung antaranya, Kg. Sulin, Kg. Lengkuasa, Kg. Tempansa dan perumahan, dengan anggaran kira-kira 5,000 penduduk.
“Isu ini juga menjadi perdebatan hangat di media sosial. Ramai yang meluahkan kekecewaan dan kemarahan mereka dengan situasi trafik terlalu sesak di Jalan Mook ini. Sehubungan dengan itu, saya merayu Jabatan Kerja Raya agar sama ada membina lampu isyarat untuk menggantikan pusingan-U ini atau pun sebarang cadangan penyelesaian yang difikirkan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera.”
Pembinaan Mini Stadium
Menyentuh mengenai pembangunan belia, Juil berkata, beliau percaya belia-belia di Limbahau dan Papar amnya, amat ‘kehausan’ untuk menikmati prasarana sukan yang lebih baik sebagai tempat untuk beriadah dan bersukan.
“Apa yang saya perhatikan, Papar tiada mini stadium atau mini kompleks sukan seperti Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Beaufort dan Sipitang. Yang ada cuma padang bola sepak, itu pun kemudahan ini juga tidak diselenggara dengan baik, dengan rumput padang rosak di sana sini. Lagi-lagi apabila hujan, kita boleh nampak padang ini digenangi air.
“Sehubungan itu, sekali lagi saya merayu kepada Kerajaan Negeri untuk membina mini stadium atau sekurang-kurangnya mini kompleks sukan sebagai pusat riadah dan sukan utama di kawasan saya.
“Ini penting untuk pembangunan sukan anak-anak muda di Papar. Dengan adanya prasarana ini, kita bukan saja boleh menggalakkan belia untuk bergiat aktif dalam aktiviti riadah dan sukan, tetapi mereka ada tempat selesa untuk berkumpul, menyokong minat mereka, dan melakukan aktiviti yang bermanfaat tanpa perlu bersusah-susah mencari tempat lain,” ujarnya.


































