Antara waris mangsa yang hadir semasa program tersebut.
KOTA KINABALU : Tragedi Double Six, kini genap 50 Tahun, tetap diingat dan dikenang dalam upacara memperingati kejadian tersebut yang diadakan di Tugu Peringatan Double Six Sembulan di sini, pada Sabtu.
Upacara itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku dan kemudiannya semua hadirin bertafakur selama seminit untuk mengenang mereka yang terkorban.
Seterusnya, upacara meletakkan karangan bunga yang didahului oleh wakil Ketua Menteri, Datuk Ceaser Mandela Malakun diikuti ahli keluarga mangsa tragedi.
Antara waris mangsa yang meletakkan karangan bunga adalah wakil keluarga Tun Datuk Mohd Fuad Stephens, Asgari Stephens, wakil keluarga Allahyarham Datuk Salleh Sulong, Kartina Salleh Sulong, wakil keluarga Mendiang Datuk Peter Mojuntin, Jeremiah Joinod Peter Mojuntin, wakil keluarga mendiang Datuk Chong Thain Vun, serta wakil keluarga mendiang Datuk Darus Binion, Datin Jikilin Darius Binion.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian hadiah pertandingan Kreatif Potret Tokoh Pemimpin Sabah 2026.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Sr. Lifred Wong; Timbalan Ketua Siasatan Jenayah, ACP Cyril Edward Nuing @ Hillary serta Penolong Ketua Pegawai Eksekutif Sutera Harbour, Gerry Druz.
Tragedi tersebut merupakan insiden nahas pesawat GAF Nomad (9M-ATZ) yang berlaku pada 6 Jun 1976, telah mengorbankan Ketua Menteri Sabah pada ketika itu, Tun Fuad Stephens bersama 10 penumpang lain termasuk anggota kabinet negeri.
































