Ceaser (kiri) menyampaikan cek cura kepada Johan Kategori B, Sekolah Menengah, Khayla Nurazalia Srizwan (tengah) dari SMK Sanzac, diiringi Lifred (kanan).
KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) menganjurkan Pameran Karya Terpilih, Pertandingan Kreatif Tokoh Pemimpin Sabah (PKTPS) 2026 bagi mengenang peristiwa Double Six yang genap 50 Tahun pada tahun ini. Pengarah JPI, Fauziahton Ag. Samad berkata pameran tersebut pertama kali diadakan untuk memperingati peristiwa dan tokoh-tokoh pemimpin Sabah yang terlibat dalam tragedi Double Six.
“Selain memperingati peristiwa tersebut, ianya juga adalah untuk menggalakkan karya daripada masyarakat Sabah dan menjadikan galeri ini sebagai platform pameran karya tempatan kreatif serta menarik.
“Pameran ini diadakan bermula 6 Jun 2026 sehingga hujung tahun ini di Galeri Double Six, Sembulan dan ianya terbuka kepada orang ramai untuk datang menghayati pameran yang diadakan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kreatif Potret Tokoh Pemimpin Sabah 2026 di sini, pada Sabtu.
Jelasnya, pertandingan kreatif yang berlangsung dari bulan Februari sehingga 11 April lalu terbahagi kepada tiga kategori utama selain beberapa anugerah lain yang disampaikan kepada pemenang.
“Terdapat tiga kategori pertandingan iaitu Kategori A, sekolah rendah (10 – 12 tahun), Kategori B, sekolah menengah (13 – 17 tahun) dan Kategori C, Institut Pengajian Tinggi (IPT), belia serta orang awam (18 tahun ke atas).
“Sambutan sangat menggalakkan dimana kita menerima sebanyak 100 karya penyertaan daripada masyarakat.
“Selain tiga kategori tersebut, terdapat beberapa anugerah yang telah disampaikan pada hari ini antaranya, Anugerah Khas Inovasi Digital, Anugerah Ekspresi dan Jiwa Tokoh, Anugerah Interpretasi Terbaik, Anugerah Penghayatan Tokoh, Anugerah Teknik Terbaik, Anugerah Pilihan Juri (5 karya pilihan juri), Pameran Khas (10 karya),” ujarnya.
Beliau berharap pertandingan tersebut diteruskan pada masa akan datang dengan membawa tema yang berbeza selain menjadikan galeri Double Six sebagai platform bukan sahaja pameran karya sedia ada malah karya-karya yang lain.
Majlis sebelum itu dimulakan dengan upacara memperingati Double Six di Tugu Peringatan Double Six Sembulan sebelum wakil Ketua Menteri Sabah, Datuk Ceaser Mandela Malakun diiringi Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr. Lifred Wong melawat Galeri Double Six serta menyempurnakan sesi penyampaian hadiah PKTPS 2026.
































