Ketibaan Jamawi (tengah) disambut mesra oleh orang ramai yang hadir dalam Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Mukim Melalap itu.
TENOM: Kawasan luar bandar termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap terus menerima pelbagai inisiatif pembangunan sektor pertanian, penternakan dan perikanan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) bagi meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan rakyat.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, antara usaha yang sedang dilaksanakan adalah seperti pembangunan semula dua kawasan padang ragut yang sebelum ini terbiar di Lagud dan Pamilaan dalam DUN Melalap bagi merancakkan aktiviti penternakan serta meningkatkan pengeluaran hasil tempatan.
Beliau berkata, golongan nelayan sungai di kawasan berkenaan turut diberi perhatian apabila status mereka dinaik taraf sebagai nelayan darat, sekali gus membolehkan mereka menerima bantuan daripada agensi kerajaan.
“Melalui inisiatif ini, mereka menerima bantuan bot dan enjin sangkut serta kemudahan jeti bagi memudahkan pendaratan hasil tangkapan ikan sungai,” katanya.

Jamawi (tiga dari kiri) bersama tetamu jemputan lain menyempurnakan upacara memotong padi ‘mongomot’.
Dalam sektor pertanian, Jamawi berkata, beberapa projek naik taraf sistem pengairan sawah padi sedang diteruskan di kawasan Melalap, termasuk di Kampung Kalang, Makakumpai, Lagud Sebrang, Kasiai dan Jawa Sumbiling manakala kawasan lain akan diusahakan untuk dimasukkan dalam bajet tahun hadapan.
Beliau turut mengumumkan pelaksanaan dua kilang pemprosesan buah-buahan yang dijangka memberi nilai tambah kepada hasil pertanian penduduk setempat.
Menurutnya, sebuah kilang akan memproses pelbagai jenis buah-buahan tempatan, manakala sebuah lagi dikhususkan untuk pemprosesan avokado.
“Avokado mempunyai permintaan yang sangat tinggi dari China dan negara itu menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam aspek pemprosesan dan pengendalian.
“Atas sebab itu, pemprosesannya tidak boleh dicampurkan dengan buah-buahan lain. Mudah-mudahan usaha ini dapat membantu pengusaha tempatan serta memberikan pulangan harga yang lebih baik kepada masyarakat tani di Melalap dan Tenom,” katanya.

Jamawi memalu gong sebanyak tujuh kali sambil disaksikan oleh tetamu jemputan lain.
Dalam perkembangan berkaitan keterjaminan makanan, Jamawi berkata, Sabah turut digesa oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Persekutuan, Datuk Seri Mohamad Sabu supaya mempergiat usaha memulihkan tanah terbiar yang sesuai dijadikan sawah padi serta menambah keluasan tanaman padi di negeri ini.
Menurutnya, langkah itu penting memandangkan ketidaktentuan geopolitik termasuk krisis yang berterusan di Timur Tengah berpotensi menjejaskan bekalan import beras apabila negara pengeksport utama seperti India, Thailand dan Vietnam memberi keutamaan kepada keperluan domestik masing-masing.
“Pada masa ini kadar sara diri (SSL) beras Sabah hanya sekitar 20 peratus. Jika kita dapat meningkatkannya kepada 40 hingga 50 peratus melalui pembukaan kawasan terbiar dan peningkatan hasil daripada sekitar tiga tan kepada enam tan sehektar menggunakan teknologi serta mekanisasi, maka keterjaminan makanan negeri ini akan menjadi lebih kukuh,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pesta Kaamatan Mukim Melalap 2026 yang melibatkan empat Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan OKK Datuk Sanggau Jalang, di sini, hari ini.
Jamawi berkata, sambutan itu membuktikan keharmonian dan perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang di kawasan berkenaan.
Katanya, semangat kerjasama dan persefahaman yang ditunjukkan masyarakat serta pemimpin setempat mencerminkan kekuatan perpaduan yang menjadi asas pembangunan kawasan itu.
“Saya amat menghargai kehadiran Ahli Parlimen dan juga pemimpin-pemimpin yang bertanding bersama saya pada pilihan raya lalu yang turut hadir meraikan sambutan ini.
“Ini menunjukkan bahawa masa berpolitik telah ditinggalkan dan kini adalah masa untuk kita bekerja bersama-sama memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, tema keharmonian dan perpaduan yang diketengahkan dalam sambutan Kaamatan peringkat Melalap itu selaras dengan amalan masyarakat setempat yang sentiasa mengutamakan budaya bantu-membantu dan bekerjasama.

Jamawi (tiga dari kiri) bergambar kenanga dengan tetamu jemputan yang hadir
Sementara itu, Jamawi berkata, cadangan menaik taraf Dewan OKK Datuk Sanggau Jalang telah mendapat persetujuan secara prinsip daripada Perdana Menteri.
Katanya, satu kertas cadangan sedang disediakan bagi menentukan reka bentuk dan skop kerja yang paling sesuai berdasarkan keperluan penduduk setempat.
“Ada yang mahu dewan ini dinaik taraf sepenuhnya dengan kemudahan penghawa dingin, manakala ada yang berpendapat memadai dengan penambahbaikan fasiliti tertentu sahaja.
“Kita akan mendapatkan pandangan jawatankuasa di peringkat Melalap terlebih dahulu sebelum maklum balas dikemukakan. Secara prinsipnya, keputusan untuk menaik taraf bangunan ini telah dipersetujui dan kini hanya menunggu cadangan keperluan serta skop kerja yang akan dilaksanakan,” katanya.
Hadir sama meraikan Sambutan Pesta Kaamatan itu ialah Ahli Parlimen Tenom merangkap Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Riduan Rubin; Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew; Ketua Daerah Tenom yang juga Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan Mukim Melalap, OKK Tusip Tulas; Pengerusi KDCA Tenom merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Stanis Buandi; Pegawai Perpaduan Zon Pedalaman Atas, Madavan Makandran; Pengurus Rumah Kebudayaan Murut Tenom, Sofrezan Yahya; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin serta beberapa lagi pemimpin setempat.
































