Limus (kiri) menyantuni Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri PertanIan, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya (tengah) pada persidangan DUN hari ini.
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Air Negeri Sabah telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan kontrak bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan paip bekalan air yang dibahagikan kepada tiga zon di daerah Sandakan.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limis Jury berkata, kontrak-komtrak tersebut adalah seperti berikut:
- Kontrak Penyelenggaraan Paip Bekalan Air di Zon 1 (Meliputi kawasan dari Batu 1 hingga Batu 4) untuk 2 Tahun di Sandakan, Sabah.
- Kontrak Penyelenggaraan Paip Bekalan Air di Zon 2 (Meliputi kawasan dari Batu 4 hingga Batu 16) untuk 2 Tahun di Sandakan, Sabah.
- Kontrak Penyelenggaraan Paip Bekalan Air di Zon 3 (Meliputi kawasan dari Batu 16 hingga Batu 32) untuk 2 Tahun di Sandakan, Sabah.
Menurutnya, Kontrak Penyelenggaraan Paip Bekalan Air selama 24 bulan ini telah ditawarkan kepada tiga Kontraktor Utama mengikut kontrak zon masing-masing.
Katanya, skop pelaksanaan Kontrak Penyelenggaraan Paip Bekalan Air ini adalah melibatkan seperti berikut:
- Kerja pembaikan paip air yang berdiameter 50mm dan ke bawah termasuk kerja-kerja pengorekan dan pembaikan semula lokasi paip bocor;
- Kerja pembaikan paip air yang melebihi 50mm ke atas termasuk kerja-kerja pengorekan dan pembaikan semula lokasi paip bocor.
- Kerja-kerja pembaikan atau penggantian ruang kebuk (manhole chamber) dan lengkapan (fitting); dan
- Kerja-kerja penyenggaraan rutin seperti mengecat ‘exposed pipe’ dan jejambat paip (pipe bridge) untuk mengelakkan karat.
“Oleh itu, sekiranya pihak Jabatan Air Daerah Sandakan mendapat laporan gangguan bekalan air disebabkan oleh kerosakan paip, Kontraktor di zon terbabit dengan serta merta diarahkan dalam tempoh dua jam perlu ke tempat kejadian dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan paip dengan segera,” katanya kepada Calvin Chong Ket Kiun (Elopura) dan Datuk Mokran bin Ingkat (Sungai Manila) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Chong bertanya berapakah kontraktor yang telah dilantik untuk melaksanakan kerja- kerja penggantian paip dibawah kontrak penyelenggaraan paip memandangkan di kawasan Sandakan masih banyak aduan paip yang sudah usang dan mulai mereput serta paip bocor berlaku, manakala Mokran bertanya apakah tindakan jangka pendek Jabatan Air untuk memastikan gangguan bekalan air tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk pulih dan menjejaskan kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan Sungai Manila dan sekitarnya, masih lagi mengalami gangguan bekalan air sehingga berhari-hari.
Limus berkata, ketiga-tiga Kontrak Penyelenggaraan Paip Bekalan Air ini telah mula dilaksanakan masing-masing pada Mei dan Jun 2022 dan akan tamat pada Mei 2024 untuk Zon 1 dan Jun 2024 untuk Zon 2 serta Zon 3.
“Bagi tindakan penyelesaian di kawasan Sungai Manila dan sekitarnya pula, Projek Menaik taraf Sistem Bekalan Air Termasuk Tangki Simpanan di Sandakan yang telah mula dilaksanakan sejak Julai 2023 kini di peringkat pelaksanaan kerja-kerja penggantian paip lama sepanjang 14 km di kawasan tersebut,” katanya.
Katanya, setakat Oktober 2023, 45 peratus kerja-kerja penggantian paip telahpun dilaksanakan.


































