Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menggunakan peruntukan Belanjawan Sabah 2024 untuk melaksanakan pembinaan jalan-jalan raya dan menaik taraf serta menyelenggara jalan-jalan di seluruh negeri Sabah secara berterusan, kata Menterinya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Beliau berkata, pengurusan dan penambahbaikan sistem trafik di bandar-bandar utama dan bandar-bandar kecil juga akan dilaksanakan.
“Dalam usaha menangani isu gangguan bekalan air di negeri Sabah, Kementerian saya melalui Jabatan Air Negeri Sabah akan berusaha memperkasakan sistem penyampaian bekalan air melalui beberapa inisiatif, antaranya melaksanakan tindakan penyelesaian jangka pendek di sembilan daerah seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Lahad Datu, Keningau, Beaufort, Tawau dan Sandakan.
“Kementerian juga akan melaksanakan initiatif pemasangan Sistem Meter Pukal atau Water Vendor di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti kerap berlakunya penyambungan haram dan kecurian air.
“Selain itu, Kementerian juga telah dan akan melaksanakan beberapa projek berimpak tinggi dan tindakan penyelesaian bekalan air di bawah peruntukan Pinjaman Mudah Persekutuan,” katanya ketika menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
KKR diperuntukkan sebanyak RM1.03 bilion perbekalan dan RM689.66 juta pembangunan dalam Belanjawan Sabah 2024.
Shahelmey berkata, dalam konteks perkhidmatan pembetungan pula, pada tahun 2024, beberapa program baharu dan sedia ada akan diteruskan.
Katanya, ini meliputi pembaikan rangkaian paip pembetungan yang telah uzur di kawasan Kota Kinabalu dan Tawau serta membaik pulih aset pembetungan milik Pihak Berkuasa Tempatan yang telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah.
Selain itu, kajian bagi penyediaan reka bentuk sistem pembetungan di seluruh negeri Sabah juga akan dilaksanakan, tambahnya.
“Dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kereta api, keutamaan Kementerian ini dalam tahun 2024 adalah bagi melaksanakan program-program yang boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan, konsisten dan berkesan. Ini melibatkan program penaiktarafan infrastruktur dan landasan, penaiktarafan aset dan kemudahan lain yang berkaitan, serta pendigitalan yang bertujuan untuk membolehkan penambahan bilangan perkhidmatan dan memperkenalkan perkhidmatan baharu secara berperingkat. Antara yang menjadi tumpuan adalah perkhidmatan baharu Tourism Train yang berasaskan pelancongan dan rekreasi.
“Anggaran pengguna perkhidmatan kereta api bagi tahun 2022 adalah seramai 426 583 orang. Manakala pada tahun 2023 sehingga penghujung Oktober tahun ini adalah seramai 423 490 orang,” ujarnya.
Berhubung dengan perkhidmatan Pelabuhan dan Dermaga, Shahelmey berkata, pada tahun 2024, Kementeriannya akan terus menyediakan perkhidmatan untuk manfaat rakyat secara berterusan.
Antaranya dengan menyediakan penanda laluan pelayaran selamat di perairan sebagai panduan kepada nelayan setempat, pengukuran hidrografik untuk pemetaan kedalaman sungai, penyelenggaraan ke atas kemudahan-kemudahan pelabuhan seperti jeti, dermaga, bangunan terminal dan program pendaftaran pelesenan kapal kecil di bawah 15 tan di peringkat daerah secara berperingkat, tambahnya.
Shahelmey berkata, seiring dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 (2021-2025), pelaksanaan projek dan program yang difokuskan dalam Belanjawan Negeri Tahun 2024 sudah tentulah bagi membolehkan rakyat di negeri ini mendapat kemudahan asas yang mampan dan saling terhubung.
“Justeru, Kementerian Kerja Raya Sabah kekal komited menggalas tanggungjawab berkenaan melalui agensi-agensi di bawahnya iaitu Jabatan Kerja Raya, Jabatan Air Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah, Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah. “Kementerian saya akan terus menggembleng tenaga untuk bersama-sama berganding bahu melaksanakan program-program pembangunan khususnya pembangunan kemudahan infrastruktur dan prasarana awam secara berterusan,” katanya.


































