Wahida (tengah) bersama 16 pasukan Kelab Ikon Wanita Malaysia cawangan Sabah.
KOTA KINABALU: Sebanyak 16 pasukan menyertai Pertandingan Boling Piala Ikon Tenpin peringkat Kelab Wanita Ikon Malaysia Sabah 2023 yang diadakan di KK Galaxy Bowl, Centre Point Kota Kinabalu kelmarin.
Majlis penutupan perasmian disempurnakan oleh Datin Wahida Mardiana Nursalim, isteri Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Dalam ucapannya, Wahida berkata, bidang sukan bukan sahaja medan melahirkan ahli sukan semata-mata, tetapi juga berperanan sebagai landasan memupuk perpaduan rakyat.
Menerusi sukan, katanya, semua masyarakat setempat dapat bersatu dan berinteraksi tanpa mengira pangkat, budaya, agama, bangsa dan pendidikan.
Menurutnya, aktiviti sukan sangat bermakna dalam melahirkan masyarakat yang sihat dan menjadi medan membentuk jati diri, disiplin, semangat bekerjasama dalam satu bumbung, selain mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan para pemain tersebut.
“Kegiatan sukan perlu menjadi asas untuk mencungkil bakat baru pada peringkat lebih tinggi, termasuk daerah, negeri dan kebangsaan.
“Golongan generasi muda tidak seharusnya mengabaikan kegiatan sukan ketika di bangku sekolah kerana penyertaan dalam bidang berkenaan boleh membantu meningkatkan mutu sukan negara. Melalui bersukan juga memberikan impak yang berguna kepada kesihatan badan dan mental,“ katanya.
Wahida berkata, amalan sihat seperti beriadah dan senaman rutin yang teratur mampu memberi faedah besar kepada kesihatan tubuh badan dan minda.
“Selain daripada mengisi masa lapang, menyihatkan tubuh badan, aktiviti sebegini juga boleh mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga dan jiran tetangga.
“Riadah dan senaman yang dilakukan beramai-ramai pastinya akan lebih menyeronokkan,” katanya.
Pasukan yang memenangi bagi pertandingan boling ini akan mewakili negeri Sabah pada 2 Disember depan di Sunway Pyramid Selangor.
Turut hadir, Pengerusi Kelab Wanita Ikon Malaysia cawangan Sabah, Asmah Kadir, jawatankuasa Kelab Wanita Ikon Malaysia dan para pemain.