David Chan
KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah mengalu-alukan peruntukan Belanjawan 2024 Sabah yang dibentang oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Presidennya, David Chan berkata, belanjawan RM5.701 bilion itu memperlihatkan keteguhan ekonomi Sabah sekali gus diharap mampu memacu pembangunan yang lebih pesat kepada negeri.
Beliau berkata, belanjawan yang menyaksikan lebihan sebanyak RM35.87 juta berbanding anggaran hasil RM5.737 bilion itu juga menyerlahkan kecekapan Kerajaan Negeri dalam menguruskan ekonomi negeri.
“Dengan tema ‘Sabah Teguh, Rakyat Terbela’ untuk belanjawan negeri tahun depan, keutamaan peruntukan yang dikeluarkan adalah untuk membawa kesejahteraan hidup rakyat Sabah.
“Apa yang mustahak berkaitan belanjawan 2024 adalah menunjukkan pertumbuhan ekonomi Sabah kekal positif. Pertumbuhan positif mencerminkan bahawa ekonomi Sabah berdaya maju,”katanya dalam satu kenyataan media kelmarin.
David berkata, Belanjawan 2024 Sabah telah disediakan untuk mencapai matlamat strategi perbelanjaan meningkatkan dan memperkasakan pertumbuhan sektor-sektor utama iaitu pertanian dan keterjaminan makanan, perindustrian dan pelancongan.
Katanya, tenaga boleh diperbaharui ekonomi dalam projek tenaga hidro amat baik untuk melindungi industri mesra alam pelepasan karbon masa depan rakyat Sabah.
“Melalui belanjawan 2024 itu juga kita nampak Kerajaan Negeri serius dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak tempatan Sabah.
“Persatuan Pengguna berharap bwlanjawan ini mampu membawa pemulihan ekonomi yang luar biasa selepas kita berhadapan kemerosotan selepas dilanda Covid-19 kerana banyak perniagaan PKS telah terjejas akibat wabak,” tambah beliau.
Beliau turut berharap segala projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan telus terutama projek yang melibatkan kemudahan serta kebajikan rakyat.


































