Hajiji bersama Timbalan-timbalannya Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan (dua kanan), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (tiga kanan), Datuk Ir. Shahelmey Yahya (dua kiri) dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun (kiri) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Malaysia dan Indonesia komited untuk menyelesaikan persempadanan darat dan persempadanan laut wilayah secara menyeluruh dan setakat ini tidak ada apa-apa persetujuan dibuat melalui platform-platform mesyuarat dua hala (bilateral meeting) yang berkaitan Pulau Sebatik dan Laut Sulawesi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri juga telah dilibatkan secara aktif dalam platform-platform mesyuarat dua hala ini yang diketuai oleh Kementerian Luar Negeri dan akan memastikan setiap perundingan atau cadangan-cadangan yang melibatkan persempadanan Sabah, Malaysia dan Indonesia adalah dibentang dan dirujuk kepada Jemaah Menteri Sabah terlebih dahulu untuk mendapat asas perundingan, hala tuju dan ketetapan.
“Kerajaan Negeri Sabah kekal dengan pendirian jelas, konsisten dan tidak akan berganjak dari apa jua cubaan negara jiran bagi memastikan persempadanan negara khususnya negeri Sabah sentiasa dipelihara dan tidak tergugat.
“Kerajaan Negeri tegas dengan pendirian bahawa persempadan negeri Sabah di Pulau Sebatik adalah di garisan sempadan memanjang sepanjang 4°10’ bermula dari East Pillar sehingga Low Water Line di sebelah timur Pulau Sebatik.
“Sempadan Maritim yang telah ditandatangani melalui Triti Laut Sulawesi yang hanya melibatkan 12 batu nautika, tidak mendatangkan kerugian kepada Sabah,” katanya kepada Datuk Seri Mohd. Shafie Hj. Apdal (Senallang) yang meminta penjelasan mengenai rundingan dengan Indonesia berkaitan Pulau Sebatik di bawah Perjanjian Laut Sulawesi, apa yang dituntut oleh Indonesia dan sama ada perjanjian sudah dibuat atau masih dalam peringkat perundingan pasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Ketua Menteri berkata, perundingan penetapan sempadan maritim bagi kawasan yang melebihi 12 batu nautika sehingga 200 batu nautika di Laut Sulawesi (dalam kawasan ND6 dan ND7) yang merupakan Exclusive Economic Zone (EEZ) masih belum dimulakan.
Menurutnya, sempadan yang melibatkan Pulau Sebatik iaitu kawasan “Intertidal” masih dalam rundingan. Sesi rundingan terkini melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Khas [Special Technical Meeting (STM)] yang telah diadakan pada 16 hingga 17 November 2023 di Tangerang, Indonesia diakhiri tanpa apa-apa perkembangan kerana kedua-dua belah pihak kekal dengan pendirian masing-masing.
“Rundingan tersebut diketuai oleh Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar Negeri. Manakala, Kerajaan Negeri diwakili oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Besar Negeri, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan dan Pengarah Tanah dan Ukur di dalam delegasi Malaysia pada mesyuarat tersebut,” katanya.


































