Masidi (tengah) bergambar kenangan sebelum membentangkan Belanjawan Sabah 2024.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan dengan penyediaan peruntukan sebanyak RM474.55 juta pada tahun depan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara program modal insan yang menjadi keutamaan Kerajaan ialah:
* RM101 juta untuk biasiswa dan dermasiswa kepada 1,500 orang bakal pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi;
* RM131 juta untuk pembangunan dan operasi sekolah agama Islam dan masjid serta program-program kerohanian di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah;
* RM56.75 juta untuk pembangunan badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh, sekolah jenis kebangsaan dan persendirian;
* RM44 juta bantuan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian serta bantuan bagi menyokong institusi-institusi pendidikan;
* RM44.57 juta untuk pembangunan dan operasi perpustakaan termasuk perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak di seluruh negeri;
* RM27.45 juta untuk pelaksanaan pelbagai program, latihan dan kursus kemahiran di Jabatan Pembangunan Sumber Manusia;
RM12.92 juta untuk pelaksanaan kursus-kursus dan penyelidikan di institut-institut pertanian; dan
* RM33 juta untuk pelaksanaan kursus dan latihan kemahiran sains, teknologi dan inovasi.
Seiring dengan perkembangan arus pendigitalan dunia tanpa sempadan, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa dan mempercepatkan pembangunan prasarana ICT di Sabah antaranya ialah:
* Pemasangan 300 buah Very Small Aperture Terminal (VSAT) akan membolehkan penduduk di kawasan pedalaman menerima akses jalur lebar melalui program kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia;
* RM43.49 juta untuk menaiktaraf rangkaian internet di 1,031 buah premis Kerajaan Negeri termasuk di Pusat-Pusat e-Desa menggunakan gentian optik berkelajuan minima kepada 300 mbps; dan
* RM27.17 juta untuk memperkasa keselamatan siber serta mengukuhkan pemantauan, pengesanan dan pelaporan ancaman siber khususnya jaringan internet Kerajaan Negeri bagi memudahkan akses maklumat oleh rakyat.
Masidi berkata, melalui Memorandum Persefahaman antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan China Science and Technologi Museum (GSTM), anak Sabah yang berminat dalam bidang science, technology, engineering, and mathematics (STEM) akan berpeluang untuk mengikuti sesi pembelajaran secara interaktif melalui penyertaan dalam pameran yang dianjurkan untuk mendapatkan pendedahan.
“Sebanyak 60 bahan akan dipamerkan dalam tempoh tiga tahun mulai September 2023 hingga Ogos 2026.
“Pada tahun depan, pameran ini akan diadakan di Membakut, Beaufort, Sipitang, Tenom dan Tawau,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Masidi berkata, selain itu, Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) akan juga meneruskan pelbagai program bagi memastikan bakat modal insan di Sabah terus digilap termasuk memacu industri animasi negeri sebagai Pusat Latihan Berlesen Toon Boom pertama di Malaysia.
Katanya, SCENIC telah dinobatkan Anugerah Khas – The Most Impactful Public Agency in Driving Digital Adoption di Top Tech Innovation Award 2022 yang disokong oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Kesejahteraan dan Kebajikan Rakyat
Selaras dengan Hala Tuju SMJ, Kerajaan Negeri juga komited dalam memperbaiki serta meningkatkan taraf sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Masidi berkata, sebanyak RM26.06 juta diperuntukkan untuk meneruskan Program Bantuan Sosial Sekolah iaitu bantuan pakaian seragam dan kasut sekolah, alat tulis serta botol air pada tahun hadapan yang melibatkan sebanyak 1,075 buah sekolah rendah dengan memanfaatkan seramai 291,414 anak Sabah.
Bantuan ini diharapkan akan meringankan bebanan keluarga dan seterusnya mendorong ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah, tambahnya.
“Selain itu, pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat seperti Program Kekeluargaan, Kepenggunaan dan Program Kesedaran Penyalahgunaan Dadah khususnya kepada para pelajar dan masyarakat rentan akan diteruskan pada tahun hadapan.
“Kerajaan Negeri turut menghargai sumbangan pertubuhan-pertubuhan sukarela kebajikan yang turut menghulurkan bantuan dan perkhidmatan kebajikan kepada kumpulan sasar.
“Justeru itu, sebanyak RM3.43 juta bantuan dalam bentuk geran diperuntukkan kepada Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah untuk menyelaras dan menggalakkan aktiviti sukarela kebajikan dan akan diagihkan juga kepada pertubuhan- pertubuhan sukarela kebajikan berkaitan,” katanya.
Kerajaan Negeri amat prihatin dengan golongan masyarakat yang kurang bernasib baik.
Oleh itu, kata Masidi, sebanyak RM123.55 juta diperuntukkan bagi mengurus dan melaksanakan program-program kebajikan yang berpaksikan rakyat bagi mengurangkan jurang ketaksamaan sosioekonomi serta meringankan beban rakyat.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM76.27 juta adalah untuk pemberian Bantuan Am Kebajikan kepada Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak, anak yatim dan ibu tunggal.
“Di samping itu, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) di bawah Inisiatif Flagship SMJ akan diteruskan bagi memberi peluang kepada kanak-kanak di luar bandar mendapat pendidikan awal.
“Seramai 835 orang anak Sabah telah mendapat manfaat dari 35 buah PPKK sejak ia diperkenalkan. Dalam masa yang sama, Program Homeward yang telah memanfaatkan seramai 970 orang setakat ini juga diteruskan untuk membantu mereka yang memerlukan kerana mengalami keadaan sakit terlantar dan OKU.,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Demi membudayakan kesaksamaan gender dan membangun potensi wanita, Kerajaan Negeri memastikan golongan wanita turut mendapat peluang dan faedah yang sama.
Justeru itu, Masidi berkata, sebanyak RM6.27 juta diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah bagi mengurus dan memperkasa kesejahteraan wanita melalui pelbagai program pembangunan modal insan.
“Selain itu, sebanyak RM11 juta turut disediakan melalui Yayasan Usaha Maju (YUM) untuk membantu suri rumah, ibu tunggal, peniaga kecil-kecilan, petani, penternak, nelayan dan usahawan kecil yang memerlukan modal pinjaman mikro bagi mengusahakan kegiatan-kegiatan ekonomi.
“Setakat ini, seramai 44,183 orang melalui 134,913 pinjaman berulang telah dibantu di bawah Skim Pinjaman Mikro oleh YUM.”
Masidi berkata, Kerajaan Negeri komited kepada pembangunan belia dan kemajuan sukan di negeri ini. Justeru itu, sebanyak RM100.17 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus serta pembangunan belia dan kemajuan sukan di Sabah.
Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak RM16.89 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan yang menjurus kepada pemerkasaan belia bagi mencapai kesejahteraan sosioekonomi sejajar dengan Dasar Belia Sabah.
“Sabah mempunyai visi untuk “Melahirkan Atlet Bertaraf Dunia” dengan berlandaskan kepada tiga teras utama iaitu Sukan Prestasi Tinggi, lndustri Sukan dan Sukan Massa. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM27.13 juta untuk mengurus dan membangunkan industri sukan negeri Sabah.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.08 juta diperuntukkan untuk pembangunan Sukan Massa, RM20 juta lagi untuk tujuan pengurusan dan pembangunan sukan prestasi tinggi oleh Majlis Sukan Negeri Sabah dan RM5.05 juta untuk pemberian sukan,” ujarnya, sambil mengucapkan tahniah kepada 16 orang atlet Sabah yang telah menyertai kontinjen negara ke Sukan Asia 2023 di China dan membawa pulang dua pingat perak untuk sukan karate dan dua pingat gangsa untuk sukan pelayaran dan olahraga.
Kerajaan Negeri juga akan menghantar atlet untuk menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak pada bulan Ogos 2024, kata beliau, sambil berharap kontinjen Sabah akan pulang dengan kejayaan yang boleh kita banggakan.
“Bagi kemudahan penggiat sukan dan masyarakat umum, Kompleks Sukan Tongod dan Kota Marudu dengan peruntukan sebanyak RM3 juta dijadualkan siap pada tahun depan.”
































