Masidi membentangkan Belanjawan Sabah 2024.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM679.85 juta dalam Belanjawan 2024 untuk mengurus dan menangani masalah kekurangan bekalan air bersih yang kritikal.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, di bawah Program Bekalan Air Negeri biayaan Kerajaan Negeri, Jabatan Air Negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM156.77 juta bagi melaksanakan program-program penyelesaian serta merta dan jangka pendek.
Bagi program penyelesaian jangka sederhana dan jangka panjang, katanya, peruntukan sebanyak RM258.05 juta akan dibiayai di bawah Program Pinjaman Mudah Persekutuan sebagai tindakan penyelesaian bekalan air di daerah Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Papar dan juga Kota Kinabalu.
Beliau berkata, selain daripada itu, bagi meningkatkan liputan perkhidmatan bekalan air terawat termasuk membangunkan infrastruktur bekalan air baharu di luar bandar, Geran Persekutuan sebanyak RM135.86 juta telah disediakan untuk melaksanakan Program Bekalan Air Luar Bandar melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia.
“Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada penyelenggaraan infrastruktur sedia ada bagi memastikan infrastruktur fizikal seperti jalan raya, jambatan dan bangunan awam berfungsi dengan selamat dan berdaya tahan.
“Justeru itu, pada tahun depan, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya akan memfokuskan kepada pemeliharaan infrastruktur dengan peruntukan sebanyak RM430.84 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Menurut Masidi, bagi mengurus dan melaksana pelbagai program penyediaan prasarana fizikal dan kemudahan-kemudahan pembetungan, pengurusan operasi serta penyelenggaraan aset pembetungan, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM99.07 juta.
Di samping itu, katanya, melalui Pinjaman Persekutuan sebanyak RM169.55 juta disediakan untuk meneruskan projek-projek di bawah Program Skim Pembetungan Sabah.
“Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM25.24 juta bagi menyediakan perkhidmatan kawalan dan penjagaan keselamatan lalu lintas perairan serta pembangunan kemudahan pelabuhan di seluruh Sabah.
“Sebagai tambahan, kemudahan peralatan penentu kedudukan di menara-menara kawalan di bawah seliaan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga juga akan dinaiktaraf bagi memastikan proses kawalan dan pemantauan trafik perkapalan di beberapa had pelabuhan (port limit) yang aktif bagi mengelakkan insiden kemalangan dalam kawasan pelabuhan.
“Perkhidmatan kereta api adalah antara pengangkutan awam yang penting dan murah. Dengan itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM58.62 juta bagi menambah baik perkhidmatan kereta api dan infrastruktur pada tahun depan. Frekuensi perkhidmatan dan perkhidmatan baharu juga akan diperkenalkan secara berperingkat yang melibatkan sektor pelancongan dan rekreasi.”
Selain itu, kata Masidi, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM68.28 juta untuk menangani dan mencegah banjir, program penstabilan dan pencegahan hakisan tebing sungai dan pantai di pelbagai lokasi terutamanya di kawasan berisiko banjir.
Manakala sebanyak RM51.26 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Program Pembangunan Kemudahan Infrastruktur Dan Kemudahan Awam yang melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan sebanyak RM767.01 juta diperuntukkan bagi projek infrastruktur kecil serta penyenggaraan jalan raya dan jambatan di bawah konsesi yang telah dilantik.
“Dengan penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) pada 10 Januari 2023, Kerajaan Negeri telah berjaya mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas daripada Kerajaan Persekutuan dengan penguatkuasaan Enakmen Bekalan Gas 2023 dan Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023.
“Susulan dengan ini, Kerajaan Negeri akan mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik daripada Kerajaan Persekutuan pada 3 Januari 2024, di mana satu Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri akan diadakan untuk membentangkan dua Rang Undang-Undang baharu iaitu Rang Undang-Undang Bekalan Elektrik Negeri Sabah 2024 dan Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu Negeri Sabah 2024, serta meminda Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023.
“Sejajar dengan kelulusan Rang Undang-Undang di Persidangan ini kelak, Kerajaan Negeri melalui pihak ECoS sebagai Badan Berkanun Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk mengawal selia aktiviti pembekalan tenaga elektrik di Sabah.
“Kita berharap dengan usaha ini Kerajaan Negeri akan berupaya membuat perancangan yang lebih teratur dan dapat mengatasi masalah perkhidmatan bekalan elektrik di negeri ini,” ujarnya.
Terdahulu, Masidi berkata, Kerajaan Negeri prihatin dengan keresahan rakyat Sabah terhadap masalah kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas yang seolah-olah tidak berpenghujung.
Justeru itu, katanya, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada program pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam seperti jalan raya; jambatan; cerun; perparitan; perkhidmatan pembetungan; kereta api; pelabuhan dan dermaga; pengurusan trafik; bangunan kerajaan serta kemudahan asas yang kritikal iaitu bekalan air dan elektrik.
Usaha ini bukan sahaja sebagai pemangkin untuk memperkukuhkan ekonomi negeri, tetapi juga memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat pada tahap yang lebih selesa, katanya lagi, sambil menambah kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri dibuktikan melalui penyediaan peruntukan terbesar dalam Belanjawan ini iaitu sebanyak RM2.63 bilion.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.72 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah dan jabatan di bawahnya, manakala RM886.55 juta di bawah Kementerian Kewangan serta jabatan-jabatan lain yang berkaitan.






























