Siling runtuh di sebuah pusat beli-belah di bandar General Santos di Cotabato Selatan, Filipina.
MANILA: Angka kematian akibat gempa bumi berukuran 6.7 magnitud yang melanda selatan Filipina, meningkat kepada tujuh orang.
Menurut pegawai pengurusan bencana tempatan, pihak berkuasa masih sedang mencari dua orang yang hilang.
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan laporan dikeluarkan Pusat Penyelidikan Geosains Jerman, gempa bumi luar pesisir itu melanda pulau Mindanao pada petang Jumaat lalu pada kedalaman 60 kilometer (km).
Rakaman video disiarkan di media sosial menunjukkan orang ramai bertempiaran lari keluar bangunan dan siling di dua pusat beli-belah runtuh akibat gegaran kuat gempa itu.
Pusat beli-belah SM City General Santos dan Robinsons GenSen mengumumkan penutupan sementara.
Beberapa gambar tular dalam media sosial juga menunjukkan bumbung di sebuah sekolah runtuh.
Dalam pada itu, ketua pejabat bencana General Santos City di wilayah Cotabato Selatan, Agripino Dacera memaklumkan tiga orang meninggal dunia di kawasan itu.
“Seorang lelaki dan isterinya maut apabila dinding konkrit runtuh menimpa mangsa, manakala seorang lagi wanita terbunuh di sebuah pusat beli-belah,” katanya.
Sementara itu, pegawai respon bencana di bandar pantai Glan, Angel Dugaduga mengesahkan sekurang-kurangnya dua orang maut berhampiran pusat gempa di wilayah Sarangani.
Katanya, pasukan penyelamat masih sedang mencari dua lagi individu yang hilang selepas berlaku tanah runtuh.
Selain itu, pegawai pertahanan awam di wilayah Davao, Franz Irag memaklumkan seorang lelaki berusia 78 tahun maut selepas dihempap batu dalam kejadian bencana itu.