Tun Juhar bergaya mengetuai pergerakan balik konvoi ke Kota Kinabalu.
Dianjurkan sejak tahun 2019, pada tahun ini, sekali lagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah turun padang mengajak masyarakat Madani meraikan ulang tahun kelahiran rasmi ke-70 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Mengekalkan konsep yang sama iaitu melaksanakan aktiviti konvoi motosikal berkuasa tinggi sambil menyantuni rakyat di sepanjang laluan yang telah ditetapkan.
100 Bikers Sertai Konvoi 200 km
Seawal jam 8.30 pagi, para peserta berkumpul di Istana Seri Kinabalu sebelum Mufti Kerajaan Negeri Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar memimpin bacaan doa keberangkatan konvoi.

Tun Juhar (tengah) mengaminkan doa yang dipimpin oleh Bungsu (kanan).
Antara yang mengiringi Tun Juhar ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun yang juga Pengerusi Penganjur bersama para pegawai kanan serta warga Sang Saka Biru dan beberapa tetamu kenamaan lain.
Konvoi didahului oleh Tun Juhar sambil disusuli para peserta konvoi serta pasukan sokongan yang lain kemudiannya memulakan pergerakan sejauh hampir 200 kilometer menuju ke Kudat.
Setelah berhenti di dua persinggahan iaitu di Kota Belud dan di Daerah Kecil Matunggong, konvoi tiba di salah sebuah pusat peranginan dekat sini, pada jam 12.15 tengah hari.
Pemimpin, Polis Bersama Masyarakat
Jauteh yang ditemui media berkata konvoi tersebut bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim di antara pemimpin, Polis dan masyarakat.
“Konvoi ini disertai seramai 119 peserta dengan 92 buah motosikal yang diketuai oleh Tuan Yang Terutama Tun Juhar sendiri dan tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahiran rasmi ke-70 TYT Sabah.
“Aktiviti tahunan PDRM ini juga melibatkan para pemimpin khususnya kerajaan Negeri Sabah, PDRM, pihak Istana Seri Kinabalu dan juga orang awam yang bertujuan untuk mewujudkan silaturahim di antara kerajaan, PDRM serta masyarakat.
“Dalam masa yang sama, Yayasan Nur Jauhar juga mengadakan beberapa aktiviti kebajikan melibatkan warga terpilih di Daerah Kudat.
“Jika dilihat perjalanan program ini, dari Kota Kinabalu sehingga Kudat, kita telah berhenti di dua perhentian iaitu satu di Kota Belud dan satu lagi di Matunggong, Kudat di mana di kedua-dua tempat ini masyarakat datang untuk memberikan sokongan padu serta beramah mesra dengan Tuan Yang Terutama Tun.
“Malah, masyarakat di Matunggong menyatakan bahawa inilah kali pertama mereka berpeluang berjumpa dengan Tuan Yang Terutama Tun datang ke Matunggong sendiri,” ujar beliau.
Teruja Berjumpa Tuan Yang Terutama
Salah seorang penduduk di Kudat, Nadia M. Lawaji, 39, yang teruja menyambut konvoi motosikal berkuasa tinggi tersebut, mahu program sedemikian diteruskan pada masa-masa akan datang.

Nadia gembira dapat beramah mesra bersama pemimpin tertinggi negeri.
Beliau berpendapat, program berkenaan memberikan manfaat kepada masyarakat Kudat dan juga mengeratkan hubungan di antara masyarakat, PDRM dan pemimpin.

Tun Juhar beramah mesra dengan masyarakat Kudat.
“Program anjuran PDRM ini membawa impak yang sangat baik terutama dalam kalangan masyarakat Kudat kerana dapat membina hubungan yang lebih erat dengan pihak PDRM dan pemimpin,” kata Nadia.
Tambahnya, program seumpama amat bertepatan dengan slogan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” selain menjadi penghubung para pemimpin dengan masyarakat.
Pemimpin Bersama Kelab Permotoran
Dalam pada itu, Bungsu yang ditemui menyatakan program tersebut merupakan satu peluang untuk rakyat dari pelbagai kelompok berinteraksi secara terus dengan Tun.
“Ini merupakan satu program yang bagus dan daripada Kota Kinabalu tadi kita mulakan dengan doa memohon supaya Allah selamatkan perjalanan ini dan kita sampai maksud yang kita inginkan.

Tun Juhar bergaya mengetuai pergerakan balik konvoi ke Kota Kinabalu.
“Dalam program ini, Tuan Yang Terutama Tun Juhar sendiri turun padang untuk melihat rakyat dan berinteraksi dengan mereka dan ini amalan yang amat baik kita sokong.
“Kita turut bawa bersama persatuan motor berkuasa besar dan ini merupakan salah satu cara untuk menyantuni kumpulan mereka dan pada pandangan saya, lagi banyak program seperti ini dibuat lagi bagus”, kata Bungsu lagi.
Mencabar Dan Menyeronokkan
Bagi salah seorang peserta wanita, Dewi Datuk Samsudin, konvoi yang kali ini agak mencabar namun memberikan pengalaman yang menyeronokkan.
“Ini kali ketiga saya menyertai konvoi dan merupakan kali kedua saya menyertai konvoi bersama TYT sebegini dan saya rasa ianya agak mencabar.
“Ia agak memenatkan tetapi saya berasa gembira kerana kali ini dua orang adik beradik lelaki saya turut mengikuti konvoi yang diketuai sendiri oleh pemimpin negeri kita yang kita cintai.
“Sekiranya arwah bapa saya masih ada sudah pasti beliau akan turut menyertai konvoi yang menyeronokkan sebegini,” tambah Dewi.
Menyantuni Masyarakat
Selepas menempuh perjalanan yang agak jauh, Tun Juhar menyampaikan sumbangannya melalui Yayasan Nur Jauhar kepada 100 orang asnaf dalam Majlis Makan Malam Bersama Peserta Konvoi Bermotosikal Sempena Hari Ulang Tahun TYT Ke-70 dan Penyampaian Sumbangan Yayasan Nur Jauhar (YNJ) Kepada Golongan Asnaf dan Anak Yatim Daerah Kudat di pusat berkenaan.
Seramai 100 orang penerima dari kalangan anak yatim dan asnaf dari sekitar Kudat menerima sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Tun Juhar selaku Penaung YNJ dan disaksikan oleh Pengerusi YNJ yang juga Timbalan Speaker Dun Sabah Datuk Al Hambra Juhar dalam majlis itu.

Tun Juhar (belakang, tengah) bergambar bersama golongan asnaf yang menerima sumbangan oleh YNJ.
Keesokan harinya, para peserta konvoi memulakan pergerakan pulang ke Kota Kinabalu tepat jam 9.00 pagi dan tiba di Istana Seri Kinabalu pada jam 12.00 tengah hari.
Mengajak Masyarakat Banteras Jenayah
Menerusi program ini, diharap dapat membuka mata lebih banyak pihak untuk bekerjasama dengan pihak Polis bagi mengadakan sesi turun padang untuk menyantuni atau sekurang-kurangnya memberi pesanan agar masyarakat supaya berganding bahu dalam menangani dan membanteras jenayah dalam komuniti.
Apa yang jelas, program ini dilihat berjaya membawa pemimpin kepada masyarakat secara lebih dekat sebagai tanda sokongan moral Tuan Yang Terutama kepada rakyat untuk meneruskan kehidupan yang kini semakin mencabar dan bebas jenayah, Dirgahayu Tuan Yang Terutama.


































