PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan rangkaian sindiket menjual ‘phising template’ kepada ‘scammer’ dalam dan luar negara melalui serbuan berasingan di Sabah, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak, kelmarin.
Dalam Op Khas Bulletproflink oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu, seramai lapan termasuk seorang wanita warga Thailand berusia antara 29 hingga 56 tahun ditahan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya berjaya mengesan sindiket yang bergiat aktif sejak setahun lalu melalui hasil maklumat dan kerjasama oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) dan Polis Persekutuan Australia (AFP).
Katanya, sindiket itu didalangi seorang lelaki tempatan kelahiran Kepulauan Cocos (Keeling) berusia 36 tahun yang berperanan sebagai pembangun perisian yang menawarkan ‘template’ menyerupai laman web agensi kerajaan, perbankan dan institusi pengajian dibekalkan melalui kaedah perhubungan komunikasi menggunakan aplikasi Telegram.
“Sindiket tersebut dipercayai menyediakan perkhidmatan berunsurkan jenayah siber antaranya phishing scripts, phishing templates, spamming services, pembangunan perisian dan ‘web hosting’ mencurigakan dilakukan melalui sebuah laman web www.bulletproftlink.com
“Pengendali laman web yang berpangkalan di Sabah ini dipercayai menyasarkan laman web rasmi kerajaan Australia, institusi perbankan di luar negara, serta organisasi yang mengendalikan laman web beralamat [.gov] dan [.edu] bagi mencuri data peribadi pengguna untuk dijual bagi sindiket penipuan di Malaysia, Australia dan AS.
“Sindiket ini dikesan mulai beroperasi pada 2015 namun aktif menjual ‘phising template’ sejak setahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.
Razarudin berkata, siasatan lanjut mendapati terdapat 1,038 nama pengguna (username) dan kata laluan (password) individu tempatan termasuk penjawat awam telah diakses sindiket secara tidak sah.
Jelas beliau, pihak polis mendapati rangkaian sindiket itu turut terlibat dalam dua skim penipuan pelaburan tidak wujud melibatkan skim pelaburan CFG International dan mata wang kripto iaitu ECCoin yang menggunakan platfom Huobi.
“Hasil semakan mendapati, sebanyak 37 laporan melibatkan kedua-dua skim pelaburan tidak wujud membabitkan kerugian bernilai RM1.2 juta.
“Sebanyak 17 kertas siasatan dibuka di mana mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.
Tambah Razarudin, pihaknya turut merampaa Server yang didaftarkan atas nama suspek utama di Technology Park Malaysia (TPM) yang digunakan sebagai web hosting ke atas laman web www.bulletproftlink.com
“Kita turut merampas e-wallet kripto RM965,808, pelbagai peralatan komputer, 186 dokumen dan barangan kemas,” katanya.


































