Jahid (duduk, tengah) bersama para peserta kursus.
TAMPARULI: Peserta Kursus Asas Penanaman Cendawan perlu mengaplikasikan ilmu diperolehi bagi menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi setempat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, penyertaan dalam kursus seumpamanya memberi peluang kepada para peserta untuk belajar perkara baharu, meneroka sesuatu bidang lebih mendalam serta menambah pengetahuan dalam pembuatan produk makanan berkaitan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Asas Penanaman Cendawan anjuran bersama Nurfirdaus Mushroom Village, e-Desa Topokon dan Atukoifm di Kampung Rongolis, dekat sini, kelmarin.
Katanya, peluang mendapat kursus seumpama itu harus dimanfaatkan sebaiknya bagi menjana pendapatan dan mampu mengubah kehidupan keluarga sekiranya dibuat secara serius.
“Walaupun hanya belajar asasnya, saya percaya bahawa ini banyak ilmu yang sudah dikongsikan oleh pihak professional dari Nurfirdaus Mushroom Village ini sedikit sebanyak dapat membantu mengorak langkah anda semua ke arah menjadi seorang usahawan cendawan yang berjaya,” katanya.
Menurut Jahid, ilmu menanam cendawan ini semakin berkembang atas usaha kerajaan menerusi Jabatan Pertanian dan syarikat-syarikat persendirian, juga penglibatan agropreneur yang terus memajukan industri ini sebagai salah satu bidang potensi tanaman baharu di Malaysia.
‘Justeru, sesungguhnya kamu tidak salah untuk memilih kursus ini, malah ini merupakan satu peluang keemasan untuk menimba seberapa banyak ilmu di dada,” katanya.
Beliau juga memuji usaha Nurfirdaus Mushroom Village atas idea menghasilkan produk hiliran sendiri berasaskan cendawan seperti kerepek bagi menjana pendapatan dan mengkomersilkan produk mereka.
“Semoga program yang dilaksanakan ini akan memberi manfaat dan membantu komuniti membangunkan diri dan keluarga melalui khidmat kepakaran Nurfirdaus Mushroom Village,” katanya.
Terdahulu, Yatimah Razimin, dari e-Desa Topokon memberitahu, para peserta telah mendapat banyak ilmu dalam bidang penanaman, penjagaan, pemasaran dan teknik mengembangkan perusahaan cendawan.
Seorang peserta, Muhamad Syukri, 33, berkata, beliau sanggup datang jauh dari Betong, Lawas semata-mata ingin mempelajari ilmu mengenai penanaman cendawan.
“Antara topik yang kami pelajari adalah cara penjagaan dan penanaman cendawan , asas pembuatan bongkah cendawan, mengenali konsep rumah cendawan, jenis penyakit dan perosak cendawan, serta langkah pemasaran.
Pada program tersebut, para peserta telah menerima sejumlah 50 bongkah cendawan secara percuma daripada pihak Nurfirdaus Mushroom Village.


































