Andi Muhammad Suryady Bandy
KOTA KINABALU: Pelaburan sebuah syarikat iaitu Esteel Entreprise Sdn. Bhd. yang bernilai RM19.8 bilion di Sabah berdepan masalah apabila Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Persekutuan (MITI) menangguhkan permohonan lesen pengilangnya selama dua tahun.
Permohonan lesen pengilang Esteel Entreprise Sdn. Bhd telah ditangguhkan selama dua tahun bermula 17 Ogos 2023 oleh pihak MITI walaupun permohonan dan rundingan telah dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan, kata Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah mendedahkan ini ketika membahas Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, Rabu.
“Untuk makluman, syarikat pembuatan besi Singapura ini telah pun bersetuju untuk melabur di Sabah dengan anggaran nilai pelaburan mencecah RM19.8 bilion.
“Dijangkakan pelaburan ini akan membuka 10,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan baharu pada fasa pembinaan dan beribu juga pada fasa operasi kelak.
“Mendukacitakan apabila permohonan lesen pengilang Esteel Entreprise Sdn. Bhd telah ditangguhkan selama 2 tahun bermula 17 Ogos 2023 oleh pihak MITI walaupun permohonan dan rundingan telah dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan,” kata Andi.
Menurutnya, penangguhan lesen ini memberi implikasi yang buruk kepada Kerajaan Negeri Sabah termasuklah;
(a) Berdepan tindakan undang-undang sekiranya perjanjian pajakan tanah yang telah dimeterai dibatalkan.
(b) Melambatkan proses kemajuan pembangunan industri di Sabah dengan sumbangan sektor industri hanya pada kadar 7.1 peratus.
(c) Kadar pengangguran di Sabah kekal 7.7 peratus dalam suku pertama tahun ini yang tertinggi di Malaysia.
(d) Kerugian pelaburan mencecah RM19.8 billion dan pelaburan lain berkaitan dengan rantaian bekalan industri keluli.
(e) Yang lebih membimbangkan, tindakan ini akan mencemarkan imej Sabah khususnya, dan Malaysia amnya, sebagai negara yang tidak mesra pelabur.
“Saya mohon MITI berikan perhatian sewajarnya,” ujarnya.
Andi turut membangkitkan isu air bersih di Sabah yang masih menjadi mimpi ngeri yang menghantui.
Katanya, rakyat Sabah masih memegang janji Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu air melalui peruntukan sejumlah RM300 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
“Saya amati, Belanjawan 2024 yang dibentangkan tidak memperincikan penyelesaian terhadap isu air di Sabah, saya mohon perkara ini dijelaskan supaya rakyat sedar akan keprihatinan Kerajaan Madani.”
Menyentuh tentang inisiatif Fly Siswa oleh Kementerian Pengangkutan, Andi menyambut baik inisiatif baucar tiket penerbangan domestik sebanyak RM300 kepada mahasiswa Sabah Sarawak di Semenanjung,
“Namun, alangkah baiknya kalau inisiatif ini diperluas kepada mahasiswa di IPTS dan bukannya IPTA sahaja.
“Tidak semua yang berada di IPTS datangnya dari keluarga senang, ditambah lagi kos pengajian IPTS lebih mahal. Justeru, saya berharap melalui belanjawan 2024, peruntukan insiatif ini diperluas melibatkan semua mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi,” katanya.
Berkenaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Andi berkata secara asasnya semua warga Sabah agak dukacita melihat perkembangan pembinaannya yang sangat lambat jika dibandingkan Sarawak yang sudah hampir siap sepenuhnya.
“Di Sabah, Fasa 1A hanya siap 85 peratus sahaja, dijangka siap sepenuhnya pada 2025.
“Fasa 1B sedang memuktamadkan tender dan mengambil 5 tahun lagi untuk siap.
“Belum lagi mengambil kira Fasa 2 dari Tamparuli ke Kundasang dan Fasa 3 dari Tawau ke Kalabakan dan Kimanis yang belum tahu bila ianya akan dimulakan.
“Justeru itu, saya menggesa pihak Kerajaan memberikan tumpuan bagi menangani isu kelewatan ini memandangkan Lebuhraya Pan Borneo ini bukan sahaja menyediakan akses jalan perhubungan yang cepat, selesa dan selamat di wilayah Sabah.
Bercakap tentang isu pertanian dan keterjaminan makanan, Andi yang juga ADUN Tanjung Keramat berkata, Belanjawan 2024 menunjukkan peningkatan 14.4 peratus, justeru itu, diharapkan RM6.17 billion ini boleh diperuntukkan untuk merancakkan penanaman padi di Sabah.
“Tanah-tanah rizab Persekutuan dan Negeri khususnya di kawasan pedalaman Sabah yang kurang terdedah kepada risiko banjir perlu diusahakan. Diharapkan perancangan membangunkan 15,000 hingga 20,000 hektar tanah di Sabah dan Sarawak oleh FELCRA akan direalisasi dengan Belanjawan ini.
Andi juga tertarik dengan kenyataan Menteri Pengangkutan berkenaan kajian kebolehlaksanaan rangkaian rel di Borneo, khususnya di Sabah.
Beliau berkata, ini satu idea yang perlu disokong dan direalisasi, dan beliau mengharapkan penumpuan kajian ini boleh memfokuskan kawasan Pantai Timur Sabah melibatkan daerah dari Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan Kalabakan seterusnya ke sempadan negara jiran.
“Bentuk muka bumi yang landai dan ketersediaan pelabuhan-pelabuhan sedia ada memungkinkan projek rel keretapi untuk tujuan kargo dan domestik dilaksanakan.
“Potensi ekonomi cukup besar sekiranya hasrat ini menjadi realiti. Belanjawan 2024 boleh menjadi perintis kepada kajian terhadap perkara ini,” katanya.


































