Jannie Lasimbang
KOTA KINABALU: ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang berharap peruntukan untuk menangani isu wanita diwujudkan dalam Belanjawan 2024.
Di samping itu, beliau turut berharap agar kepentingan menangani isu-isu utama Sabah dapat diberikan penekanan pada sesi perbahasan Belanjawan 2024 yang sedang berlangsung agar pindaan dapat dibuat.
“Pertimbangan yang ketara adalah peruntukan untuk penambahbaikan penjagaan kesihatan dan pendidikan, yang merupakan tonggak asas pembangunan Sabah. Tambahan pula, pelaburan dalam infrastruktur air dan elektrik adalah penting untuk memastikan keperluan asas sedia ada kepada rakyat Sabah.
“Ini selari dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah hari ini untuk mewujudkan empat kementerian baharu berkaitan isu kesihatan, pendidikan, utiliti dan wanita kerana isu-isu tersebut memerlukan perhatian yang mendesak,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Jannie mengalu-alukan penambahan peruntukan kepada Sabah dalam Belanjawan 2024 untuk infrastruktur, tetapi mengesyorkan agar diwujudkan peruntukkan bagi menangani isu yang dihadapi oleh wanita termasuk keganasan rumah tangga dan kebajikan ibu tunggal akan ditambah.
“Kerajaan Persekutuan telah menyatakan komitmennya terhadap sekolah daif di Sabah dengan peruntukan yang cukup lumayan, namun Belanjawan 2024 tidak mengungkapkan peruntukan lebih kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina. Di Sabah, sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina diiktiraf dan ramai pelajar adalah dari kalangan etnik bukan Cina menghadiri sekolah tersebut.
“Oleh itu, saya berharap agar Kerajaan juga memberi lebih perhatian kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina, dan peruntukan meningkat dalam Belanjawan 2024,” katanya.
Beliau berkata, peruntukan bagi pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebanyak RM44 bilion untuk pinjaman dan jaminan bererti Kerajaan menyasarkan sistem sokongan yang teguh untuk perniagaan ini.
“Saya harap melalui ini, PKS di Sabah akan mengakses geran pendigitalan yang dimaksimakan sehingga RM5,000 untuk meningkatkan keupayaan teknologi memacu inovasi dan kecekapan mereka.
“Saya juga berpuas hati dengan tumpuan kepada kebajikan rakyat dalam Belanjawan 2024, yang akan meringankan beban rakyat yang memerlukan bantuan.
“Kenaikan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM3,700, dan peningkatan manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan melegaakan golongan B40.
“Program baharu berkaitan kesihatan primer dan pencegahan iaitu Skim Perubatan Madani dan Agenda Nasional Malaysia Sihat 2.0 dengan peruntukan masing-masing RM100 juta dan RM23 juta juga sesuatu yang saya alu-alukan dan saya percaya akan memberi manfaat yang baik kepada masyarakat terutama golongan B40 di Sabah.
“Saya alu-alukan peluasan perkhidmatan klinik pergigian bergerak ke Penampang dan Keningau, serta klinik bergerak pengajar universiti bagi memberi rawatan asas termasuk saringan awal kanser payudara.”
Selain itu, katanya, dalam peruntukan Belanjawan 2024 juga ada dinyatakan Kerajaan bercadang menambah baik pendekatan subsidi elektrik yang disasarkan dengan mengambil kira tahap penggunaan elektrik setiap isi rumah dengan harapan dapat menggalakkan pengguna untuk lebih menjimatkan dan cekap dalam penggunaan tenaga harian mereka.
“Belanjawan 2024 Malaysia MADANI mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menangani cabaran dan peluang dalam landskap ekonomi dan sosial Sabah yang dinamik. Kejayaan tertakluk kepada perlaksanaan dan penyesuaian projek serta program untuk memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat Sabah oleh pihak yang bertanggungjawab, termasuklah kakitangan kerajaan dan pemimpin kita.
“Jika kita ada peruntukan, tetapi pelaksanaannya tidak cekap, peruntukan tersebut akan sia-sia,” kata Jannie.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2024 berjumlah RM393.8 bilion Jumaat lalu, iaitu peningkatan RM5.8 bilion berbanding RM388 bilion yang diperuntukkan untuk 2023. Daripada itu, RM6.6 bilion telah diperuntukkan kepada Sabah.


































