KOTA BHARU: Polis giat mengesan pemandu dan seorang budak yang dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) selepas terjatuh dari pintu belakang sebuah kereta ketika membuat pusingan U di kawasan lampu isyarat di Jalan Sultan Yahya Petra berhampiran Kota Sri Mutiara, di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.42 petang berpandukan kepada rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta yang tular.
“Kejadian itu dipercayai berlaku akibat kegagalan pemandu kereta yang dinaiki kanak-kanak tersebut untuk memastikan pintu penumpang sebelah kiri ditutup dengan kemas.
“Pemandu kereta juga dipercayai tidak memastikan kanak-kanak itu memakai tali pinggang keledar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, susulan itu usaha mengesan kenderaan terlibat dan kanak-kanak tersebut masih dijalankan.
Katanya, orang ramai yang melihat kejadian itu, pemandu kereta terlibat dan perakam video diminta untuk tampil membantu siasatan di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau hubungi pegawai penyiasat Inspektor Khairul Anuar Abdul Aziz di talian 09-775 2355.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Semalam tular rakaman di laman sosial yang memaparkan seorang budak lelaki dirempuh sebuah SUV selepas terjatuh dari pintu belakang sebuah kereta yang sedang membuat pusingan U di kawasan lampu isyarat depan Kota Sri Mutiara, Jalan Sultan Yahya Petra di sini.
Berdasarkan video itu, sebuah kereta jenis Honda City berwarna kelabu sedang membuat pusingan U di lampu isyarat yang terletak di depan kompleks beli-belah itu.
Semasa sedang melakukan pusingan, pintu belakang sebelah kiri kereta itu tiba-tiba terbuka sebelum seorang kanak-kanak terjatuh dari kereta tersebut.
Sebuah kereta yang berwarna putih yang berada di belakang Honda City itu sempat mengelak, namun sebuah SUV jenis Perodua Attiva kemudiannya merempuh kanak-kanak tersebut.
Rempuhan itu mengakibatkan budak itu jatuh tergolek sebelum bingkas bangun dalam keadaan terpinga-pinga pergi ke arah sebuah motosikal yang dinaiki sebuah keluarga.
Penunggang motosikal itu kemudiannya dilihat mendukung dan menenangkan budak itu sebelum membawanya ke arah kereta yang dinaiki kanak-kanak tersebut.
Difahamkan, kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan.


































