Sebahagian daripada belia dan masyarakat tempatan yang mengikuti program SMART tersebut.
RANAU: Program Sukses Matang Aktif Rasional Tanggungjawab (SMART) anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Ranau memberi kesedaran tentang pencegahan dadah melalui gaya hidup sihat khususnya kepada golongan muda.
Ketua Unit Pencegahan dan Publisiti AADK Ranau merangkap Penyelaras Program, Harris Mohd. Zakaria berkata, program yang diadakan bertempat di Sosodikon Hill baru-baru ini itu, dibuat dengan kerjasama Kelab Rekreasi Kundasang dan Koperasi Sosodikon Hill.
“Antara lain objektif program berkenaan adalah untuk memberi kesedaran tentang pencegahan dadah melalui gaya hidup sihat iaitu aktiviti riadah dan sukan.
“Selain itu, ia juga dilihat dapat memupuk kerjasama antara AADK dan NGOs dan kelab dalam aktiviti pencegahan dadah, selain penyampaian mesej antidadah melalui edaran risalah dan ceramah,” kata beliau.
Menurutnya lagi, program itu dijalankan dengan menyasarkan golongan belia serta komuniti setempat.

Peserta Fun Ride mengedarkan risalah anti dadah kepada masyarakat setempat.
Program yang dijalankan dalam sehari itu berjaya merekodkan seramai 46 orang kehadiran, yang terdiri daripada Kelab Berbasikal Ranau Dan Kundasang (seramai 20 orang) dan golongan belia setempat seramai 26 orang.
Antara lain pengisian program itu termasuklah ceramah dan taklimat, dan Fun Ride (laluan trek Sosodikon Hill – Kg. Mesilou – Mount Kinabalu Golf Club – Sosodikon Hill) sejauh 9.4km.
“Turut diadakan dalam program itu ialah aktiviti hiking ke puncak Sosodikon Hill, ‘walking message’ melalui edaran risalah di sepanjang laluan Fun Ride dan juga pendaftaran ahli skuad antidadah,” kata beliau.
Sementara itu, aktiviti Fun Ride dilancarkan bersama oleh Pengerusi Kelab Rekreasi Kundasang, Shaifful Azmie Jamil dan Pengurus Koperasi Sosodikon Hill, Alhafiz Sovestor.
Manakala turut hadir dalam acara itu ialah Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Ranau, Micordoloney Mikol, Ketua Platun RELA Kampung Mesilou, Zul K. Watamin dan lain-lain.































