Pembukaan Sukan Asia Hangzhou berlangsung meriah dengan pertunjukkan memukau yang disediakan China selaku tuan rumah pada edisi ke-19.
PETALING JAYA: Majlis pembukaan Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China berlangsung cukup meriah di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou dengan tuan rumah menampil menampilkan persembahan unik dan memukau untuk meraikan para atlet, pegawai dan juga penonton.
Pada acara itu, persembahan bunga api tradisional digantikan dengan persembahan bunga api digital dengan animasi dan peralatan tiga dimensi seiring dengan ikrar Sukan Asia Hangzhou untuk menjadi Sukan Asia pertama yang neutral karbon dan menggunakan tenaga hijau.
Menurut Utusan Malaysia, Kontinjen Malaysia menjadi negara ke-22 yang berarak masuk di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou dengan atlet berbasikal trek, Muhammad Shah Firdaus Shahrom dan atlet skuasy, S Sivasangari menjadi pembawa Jalur Gemilang.
Kontinjen Malaysia mengayakan blazer berwarna biru serta tali leher merah buat atlet dan pegawai lelaki serta seluar panjang putih yang menggambarkan rasa kesatuan dalam kalangan rakyat Malaysia seperti yang terdapat pada bendera Malaysia.
Seramai 50 atlet menyertai perarakan malam ini membabitkan 28 atlet dan 22 pegawai diketuai Ketua Kontinjen, Datuk Dr. Chong Kim Fatt serta dua timbalannya, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli dan Prof Madya Dr. Farrah Hani Imran.
Malaysia yang diwakili 288 atlet (188 lelaki dan 100 wanita) akan menyertai 22 daripada 40 sukan dengan sasaran 27 pingat.
Sukan Asia Hangzhou yang mencatat sejarah sebagai Sukan Asia dengan penyertaan terbesar iaitu 11,831 atlet dari 45 negara itu dirasmikan Presiden China, Xi Jinping iaitu setahun selepas ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Acara pembukaan bermula dengan persembahan ‘Water in Autumn Glow’ bersempena waktu temasya sukan benua itu dirasmikan, iaitu pada Qiufen, Ekuinoks Musim Bunga di China yang jatuh pada hari ini.
Perbarisan 45 negara yang bertanding dalam temasya sukan benua itu bermula selepas bendera negara tuan rumah dibawa masuk dan lagu kebangsaan Negara Tembok Besar itu berkumandang dengan kontinjen Afghanistan yang pertama masuk ke dalam stadium.
Tarikan utama lain pada majlis perasmian itu ialah nyalaan kawah api menggunakan pembawa obor digital, terdiri daripada beratus juta peserta dalam lari berganti-ganti secara dalam talian.