Pasukan penyelamat mempersiapkan mangsa untuk diusung turun ke Timpohon Gate. – Ihsan Bomba
RANAU: Seorang pendaki lelaki tempatan berusia 30 tahun cedera selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Kinabalu di Kundasang, dekat sini, kelmarin.
Mangsa mengalami kecederaan pada tapak tangan dan kaki dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 8.5 denai mendaki Gunung Kinabalu, pada kira-kira jam 9.33 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, sepasukan tiga anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) diketuai Pegawai Operasi, PBB Quinten Gagok bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Apabila pasukan tiba di lokasi yang terletak 2.5 kilometer dari pos MOSAR, didapati mangsa telah terjatuh, serta pergelangan kaki kanan terseliuh dan tapak tangan kiri cedera.
“Pasukan MOSAR dengan bantuan Park SAR dan Malim Gunung memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum membawanya turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robinson Stretcher,” katanya.
Ridwan berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut, dan keseluruhan operasi ditamatkan pada jam 4.16 petang.