Peserta konvoi bergambar kenangan ketika kempen 1R1JG di Penjara Sandakan.
SANDAKAN: Kerjasama pelbagai agensi dapat memperkasakan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG).
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, inisiatif berkenaan dibawa sepanjang perjalanan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 dengan kerjasama pelbagai agensi bagi menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai tanda kecintaan kepada negara dan negeri.
“Pendekatan ini dapat dilihat menerusi penglibatan pelbagai agensi di Sandakan, termasuk Klinik Desa Batu 7, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Jabatan Penjara Sandakan yang turut menjayakan edaran Jalur Gemilang serta menyantuni warga kerja agensi masing-masing.
“Kami tiba di daerah Sandakan ini, telah banyak Jalur Gemilang dan bendera Sabah dikibarkan.
“Kami menyeru kepada hadirin supaya menyampaikan kepada jiran dan sanak saudara bersempena Bulan Kebangsaan ini, kibarkanlah Jalur Gemilang dan bendera Sabah,” katanya ketika berucap pada Program KMJG dan Hari Sabah 2026 Daerah Sandakan di Dewan Serbaguna Kg. Batu Putih, pada Rabu.
Jainisah berkata, penglibatan agensi di pelbagai peringkat itu memperlihatkan usaha menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah bukan hanya digerakkan melalui satu program, sebaliknya melalui kerjasama dan penglibatan bersama pelbagai pihak.
“Terima kasih juga kepada agensi-agensi yang menawarkan perkhidmatan pada hari ini, antaranya KPDN dengan Jualan Rahmah, Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Komuniti MADANI, Jabatan Perpaduan, Maxim Malaysia dan sebagainya.
“Kerjasama di peringkat daerah turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Penjara Malaysia, MPS serta Persatuan Basikal Daerah Sandakan, manakala di peringkat negeri dan persekutuan turut disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Telekom Malaysia (TM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) serta agensi di bawah Kementerian Komunikasi.
“Sinergi rentas agensi ini bukan sahaja menghidupkan suasana sambutan melalui kibaran Jalur Gemilang dan bendera Sabah, malah membawa pelbagai perkhidmatan lebih dekat kepada masyarakat,” ujarnya.
Jainisah turut menyeru masyarakat supaya meneruskan semangat berkenaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di kediaman, premis perniagaan serta kenderaan masing-masing sepanjang Bulan Kebangsaan hingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September.
Terdahulu, pengisian KMJG turut digerakkan melalui Kluster Kesihatan di Klinik Desa Batu 7 yang menyaksikan edaran Jalur Gemilang serta sesi menyantuni warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke Wisma Perbandaran Sandakan dan seterusnya ke Jabatan Penjara Sandakan untuk edaran Jalur Gemilang di bawah inisiatif 1R1JG serta sesi menyantuni kakitangan jabatan berkenaan.
































