Arthur Sen
KOTA KINABALU: Proses pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak bermula dengan Parti Warisan Sabah (Warisan), manakala tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah juga bukan berasal daripada parti berkenaan, kata Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Arthur Sen.
Arthur yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, rekod sejarah dan kronologi MA63 perlu diperjelaskan supaya rakyat Sabah mendapat gambaran tepat mengenai perkara yang telah dituntut, bila tuntutan dikemukakan serta perkara yang kemudiannya dipersetujui atau dilaksanakan.
“Proses MA63 tidak bermula dengan Warisan. Tuntutan 40 peratus hasil bersih bukan berasal daripada Warisan. Senarai isu tertunggak MA63 juga bukan berasal daripada Warisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa dakwaan sejarah yang dikemukakan Aziz Jaman dalam sesi TikTok bersama Abang Rock pada 18 Ogos lalu berhubung pelaksanaan MA63.
Arthur berkata, dalam menyediakan penjelasan itu, beliau turut mendapatkan pandangan Philip Yaditing yang terlibat secara langsung dalam penelitian dan kajian tuntutan berkaitan MA63 sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas yang membantu Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).
Menurutnya, isu MA63 mula diberi perhatian dan diangkat secara rasmi ke peringkat Persekutuan semasa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui penubuhan Jawatankuasa MA63 Persekutuan yang dipengerusikan bersama Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Nancy Shukri.
Jawatankuasa itu, katanya, mengenal pasti dan menyusun pelbagai perkara tertunggak berkaitan MA63, termasuk hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Arthur berkata, di peringkat Kerajaan Negeri Sabah pula, Jawatankuasa MA63 Sabah ditubuhkan pada 2016 dan dipengerusikan Datuk Teo Chee Kang, ketika itu Menteri Tugas-Tugas Khas, di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.
Katanya, parti politik dan NGO dijemput mengemukakan tuntutan masing-masing berkaitan MA63, termasuk PBS yang ketika itu merupakan parti komponen Barisan Nasional.
“Pembentangan bagi pihak PBS disampaikan oleh Datuk Joniston Bangkuai, Datuk Johnny Mositun serta Philip Yaditing,” katanya.
Antara isu yang dibentangkan PBS ialah pelaksanaan Borneonisasi serta autonomi pentadbiran mahkamah di Borneo, manakala tuntutan berkaitan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih dikemukakan kumpulan NGO lain.
Arthur berkata, proses berkenaan berlaku sebelum Warisan menyertai kerajaan Persekutuan.
“Warisan kemudiannya meneruskan beberapa perkara dan senarai tuntutan yang telah dikenal pasti, dibangkitkan serta didokumentasikan melalui proses MA63 terdahulu.
“Sudah tentu, tidak salah bagi mana-mana kerajaan yang mengambil alih untuk meneruskan usaha dan agenda kerajaan sebelumnya. Namun, dari perspektif sejarah, kronologi dan rekod rasmi, adalah tidak tepat untuk mendakwa seolah-olah tuntutan tersebut merupakan hak atau inisiatif eksklusif Warisan,” katanya.
Beliau turut menegaskan perbezaan antara proses rundingan atau perbincangan dengan pelaksanaan sebenar.
Katanya, sepanjang tempoh penglibatan Warisan dalam kerajaan Persekutuan, perkara yang dibincangkan tidak sampai ke tahap pelaksanaan, sebaliknya sebahagian besarnya masih berada pada peringkat rundingan, perbincangan dan persetujuan untuk diteliti atau dibawa ke peringkat seterusnya.
Selepas perubahan politik pada 2020, Dr. Maximus dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) di bawah kerajaan Persekutuan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Arthur berkata, dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier, Tan Sri Abang Johari Openg, beberapa perkara berkaitan MA63 berjaya dilaksanakan.
Antaranya pemindahan kuasa kawal selia gas petroleum cecair (LPG) kepada Kerajaan Sarawak, pindaan Perkara 1(2) dan 160(2) Perlembagaan Persekutuan, pemerkasaan Kerajaan Negeri Sabah dalam pelesenan dan perikanan laut dalam, pemindahan kuasa pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Negeri Sabah serta Geran Khas di bawah Perkara 112C dan 112D melalui pembayaran interim.
Pada masa sama, beberapa perkara lain terus diperjuangkan melalui rundingan MA63, termasuk royalti minyak dan bayaran tunai petroleum, sumber petroleum dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012, hak negeri berkaitan pelantar benua, tanggungjawab kewangan Persekutuan, Borneonisasi, pertambahan perwakilan Parlimen, kuasa kawal selia gas dan elektrik di Sabah, kuasa negeri berkaitan kesihatan, hal ehwal buruh serta pentadbiran kehakiman di Sabah dan Sarawak.
Turut dibincangkan ialah perdagangan rentas sempadan dan keselamatan antara Malaysia Timur dengan Kalimantan, pembangunan infrastruktur berkaitan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara, pengukuhan kemudahan CIQS serta isu imigresen seperti IMM13, Kad Burung-Burung dan Kad Banci.
Dalam pada itu, Arthur berkata, peranan Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun dalam rundingan berkaitan hak 40 peratus hasil bersih Sabah juga wajar diiktiraf.
Katanya, Masidi mengetuai rundingan dengan Kementerian Kewangan Persekutuan dan pasukan Kerajaan Persekutuan sehingga menyumbang kepada pembayaran interim kepada Sabah, bermula RM125.6 juta pada 2022 dan RM126.8 juta pada 2023, diikuti RM300 juta pada 2024, RM600 juta pada 2025 dan RM1.5 bilion pada 2026.
“Untuk rekod, sepanjang pentadbiran Warisan, hanya RM52 juta berjaya dituntut sebagai bayaran interim. Namun demikian, bayaran tersebut tidak pernah dilaksanakan,” katanya.
Mengenai pindaan Perkara 1(2), Arthur berkata, cadangan pindaan yang dibentangkan Menteri Undang-Undang ketika itu, Datuk Liew Vui Keong yang juga Ahli Parlimen Warisan, tidak memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen.
Katanya, cadangan itu juga tidak mendapat sokongan Ahli Parlimen Sarawak, antara lain kerana tidak memasukkan secara jelas rujukan kepada MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya, pindaan berikutnya yang dilaksanakan ketika Dr. Maximus menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bertanggungjawab terhadap undang-undang berjaya diluluskan Parlimen pada 2022 dengan majoriti lebih dua pertiga.
Daripada 222 Ahli Parlimen, seramai 200 menyokong pada bacaan pertama manakala 199 menyokong pada bacaan kedua.
Arthur berkata, pindaan 2022 bukan sahaja mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Perkara 1(2), malah memasukkan rujukan jelas kepada MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, pindaan itu berbeza daripada cadangan terdahulu dan memperkukuh asas perlembagaan bagi memahami kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Arthur turut menegaskan bahawa PBS telah memasukkan hak Sabah di bawah MA63 dalam agenda dan manifestonya serta memperjuangkan hak berkenaan secara konsisten sejak penubuhan parti.
“Perjuangan mempertahankan kedudukan perlembagaan dan hak Sabah di bawah MA63 merupakan sebahagian daripada sejarah politik PBS sejak berdekad-dekad lalu,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Sabah berhak mengetahui kronologi penuh proses MA63, termasuk apa yang dituntut, bila ia dituntut, siapa yang mengemukakannya, apa yang dipersetujui untuk dibincangkan, apa yang benar-benar dipersetujui dan apa yang akhirnya dilaksanakan.
“MA63 bukan milik mana-mana parti politik. Ia merupakan satu komitmen perlembagaan yang lahir daripada pembentukan Malaysia, dan hak Sabah serta Sarawak adalah hak rakyatnya.
“Pendekatan yang sewajarnya bukanlah bersaing untuk mendapatkan kredit politik, sebaliknya mengiktiraf sumbangan mereka yang telah terdahulu berusaha dan, yang lebih penting, meneruskan usaha memastikan hak-hak Sabah yang masih tertunggak di bawah MA63 dapat direalisasikan dan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
































