James bergambar bersama para hadirin.
KOTA KINABALU: Sebanyak 1,191 insiden gangguan perkhidmatan telekomunikasi direkodkan di Sabah bagi tempoh 2025 hingga Jun 2026, melibatkan 257 tapak telekomunikasi di 23 daerah dengan kerugian dianggarkan RM17.3 juta.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, jumlah itu bukan sekadar menggambarkan nilai kerosakan aset, sebaliknya turut memberi kesan langsung kepada rakyat apabila perkhidmatan telekomunikasi terganggu.
Katanya, kegiatan vandalisme dan kecurian kabel, bateri serta komponen rangkaian boleh menjejaskan pembelajaran dalam talian, urusan perniagaan, transaksi digital, perkhidmatan kerajaan dan komunikasi ketika kecemasan.
“Yang terputus bukan sekadar kabel. Yang terputus ialah hubungan rakyat dengan perkhidmatan yang mereka perlukan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Taklimat “Memutuskan Rantaian Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi: Dari Tapak ke Pasaran” anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini hari ini.
James berkata, isu berkenaan perlu dilihat sebagai isu kepentingan awam dan pembangunan negeri, khususnya mengambil kira keadaan Sabah yang luas serta bentuk muka bumi mencabar dengan banyak penempatan berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurutnya, kos membina infrastruktur telekomunikasi di kawasan sedemikian adalah tinggi, justeru setiap menara, kabel dan kemudahan rangkaian yang dibangunkan merupakan pelaburan penting untuk rakyat Sabah yang perlu dilindungi.
Beliau berkata, pendekatan menangani vandalisme juga tidak boleh hanya tertumpu kepada kejadian di tapak, sebaliknya keseluruhan rantaian daripada kecurian sehingga aset berkenaan memasuki pasaran perlu diberi perhatian.
“Selagi ada pasaran untuk kabel, bateri, logam atau komponen telekomunikasi yang dicuri, selagi itu kegiatan ini akan mempunyai nilai ekonomi kepada pelakunya.
“Kalau kita benar-benar mahu memutuskan rantaian ini, kita bukan sahaja perlu memburu pencuri di tapak, kita juga perlu menutup ruang yang membolehkan barang curi itu masuk ke pasaran,” katanya.
Sehubungan itu, James berkata, kerjasama antara MCMC, Kerajaan Negeri, agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan, agensi utiliti dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi perlu diperkukuh, termasuk dari aspek perkongsian maklumat, risikan dan pengenalpastian lokasi berisiko.
Beliau turut mengingatkan bahawa pindaan kepada Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan kesalahan berkaitan perbuatan mengusik, mengalihkan, memusnahkan atau merosakkan kemudahan rangkaian, dengan hukuman sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, katanya, penguatkuasaan sahaja tidak memadai dan masyarakat turut memainkan peranan dengan melaporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar menara, kabel atau kemudahan telekomunikasi.
“Asetnya mungkin milik syarikat, tetapi manfaatnya adalah untuk kita semua,” katanya.
James berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyokong pembangunan infrastruktur digital di Sabah, termasuk usaha memperluas akses telekomunikasi berkualiti di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, pembangunan infrastruktur baharu perlu berjalan seiring dengan usaha melindungi aset sedia ada supaya peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk memperluas liputan dan meningkatkan kualiti rangkaian tidak terpaksa dibelanjakan berulang kali bagi menggantikan aset yang dicuri atau dirosakkan.
“Ini bukan hanya soal menjaga menara atau kabel. Ini soal menjaga hubungan, menjaga peluang dan menjaga masa depan rakyat Sabah,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai, Sektor Hal Ehwal Negeri MCMC, Haji Bukhari Yahya; Pengarah Kanan MCMC Pejabat Wilayah Sabah, Ratnawaty Talib; serta pegawai kanan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, wakil agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan dan industri telekomunikasi.

































