KOTA KINABALU: Sebanyak 180 kontinjen telah memohon untuk mengambil bahagian dalam perbarisan dan perarakan berjalan lalu sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dataran Bandaraya Kota Kinabalu, 31 Ogos ini.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri Sabah dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perbarisan dan perarakan itu akan bermula seawal jam 6 pagi, melibatkan kontinjen agensi kerajaan, pasukan beruniform, sekolah, persatuan serta pelbagai organisasi.
Katanya, penyertaan yang besar itu mencerminkan semangat patriotisme dan kebersamaan rakyat Sabah dalam meraikan hari bersejarah berkenaan.
“Tarikh ini membawa makna yang amat besar kepada rakyat Sabah kerana pada hari yang sama kita meraikan Hari Kebangsaan serta memperingati Hari Sabah,” katanya pada Sidang Media Khas Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah 2026, di sini hari ini.
Masidi berkata, Hari Sabah diisytiharkan secara rasmi pada 5 Jun 2024 dengan menetapkan 31 Ogos sebagai Hari Sabah, menjadikan 2026 sebagai tahun ketiga sambutan berkenaan diraikan secara rasmi bersama-sama Hari Kebangsaan.
Menurutnya, sambutan itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi kesempatan untuk rakyat menghayati sejarah, menghargai perjuangan generasi terdahulu dan melihat ke hadapan dengan keyakinan terhadap masa depan Sabah dalam Malaysia.
Beliau berkata, sambutan pada sebelah malam pula akan memberi tumpuan kepada golongan belia dan generasi muda sebagai pewaris masa depan negeri.
“Konsep sambutan malam tersebut adalah untuk melihat ke hadapan. Kita mahu Hari Sabah bukan sahaja menjadi ruang untuk mengenang perjalanan sejarah negeri ini, tetapi turut membina keyakinan bahawa generasi muda Sabah mempunyai peranan yang besar dalam menentukan hala tuju negeri pada masa hadapan,” katanya.
Masidi berkata, tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 ialah “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, yang membawa mesej bahawa pembangunan negara perlu diterjemahkan kepada manfaat dan kesejahteraan yang benar-benar dirasai rakyat.
Katanya, dalam konteks Sabah, kesejahteraan bukan hanya berkaitan pembangunan fizikal, tetapi turut merangkumi peluang pekerjaan lebih baik, pendidikan berkualiti, pertumbuhan ekonomi, kemudahan asas mencukupi, keselamatan, perkhidmatan awam yang cekap serta kehidupan masyarakat yang aman dan harmoni.
Beliau turut menegaskan kepentingan generasi muda mengenali sejarah negeri dan negara, namun pada masa sama mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk menjadi peserta, penyumbang serta penggerak kepada masa depan Sabah.
“Sebab itu saya mahu generasi muda Sabah mengenali sejarah negeri dan negara mereka. Tetapi lebih penting, mereka tidak seharusnya menjadi sekadar penonton kepada pembangunan. Mereka mesti diberikan ruang dan peluang untuk menjadi peserta, penyumbang dan akhirnya penggerak kepada masa depan Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Masidi berkata, kekuatan terbesar Sabah iaitu perpaduan dalam kepelbagaian perlu terus dipertahankan.
“Kepelbagaian kaum, agama, budaya dan latar belakang masyarakat Sabah bukan sesuatu yang memisahkan kita, sebaliknya merupakan aset yang menyatukan dan memperkayakan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, semua jawatankuasa yang dilantik kini sedang melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan sambutan pada 31 Ogos berjalan teratur dan lancar.
Katanya, persiapan meliputi aspek keselamatan, kawalan lalu lintas, kebersihan, penyertaan kontinjen serta pengurusan keseluruhan acara.
Masidi turut menyeru semua peserta dan orang ramai yang hadir supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa serta mematuhi segala arahan yang dikeluarkan bagi memastikan sambutan berlangsung dalam suasana meriah, selamat, tertib dan selesa.
Beliau menjemput seluruh rakyat Sabah tanpa mengira usia, kaum, agama atau latar belakang untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah pada 31 Ogos ini.
“Jadikanlah sambutan ini bukan sahaja sebagai satu perayaan, tetapi sebagai kesempatan untuk kita menghayati erti kemerdekaan, menghargai sejarah serta memperkukuh perpaduan sesama kita,” katanya.
Masidi turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Jabatan Penerangan Malaysia Sabah, RTM Sabah, kementerian, jabatan, agensi kerajaan, pasukan keselamatan, pihak berkuasa tempatan, sukarelawan, peserta kontinjen serta media atas kerjasama menjayakan sambutan tahun ini.
“Marilah kita bersama-sama menjadikan 31 Ogos 2026 satu sambutan yang mencerminkan keyakinan kita terhadap masa depan Sabah, semangat perpaduan rakyat serta kecintaan kita kepada negeri dan negara,” katanya.
































