Dr Kasim Mansor
KOTA KINABALU, 20 Ogos (Bernama): Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyokong usaha kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta komitmen untuk meneliti dan memperbaharui kerangka perundangan baharu yang diyakini mampu memperkasakan kualiti graduan serta pembangunan modal insan di negeri ini.
Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata langkah berkenaan memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem universiti awam agar kekal relevan dengan keperluan semasa serta masa hadapan.
“Setiap pembaharuan sewajarnya dilihat sebagai peluang untuk mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan, tadbir urus, pembangunan mahasiswa dan keupayaan universiti melahirkan graduan yang berilmu, berintegriti, kompeten serta bersedia menghadapi persekitaran pekerjaan dan masyarakat yang semakin mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pembaharuan itu amat penting bagi Sabah yang memerlukan modal insan berkualiti untuk menyumbang dalam pelbagai bidang strategik merangkumi sektor profesional, perkhidmatan awam, industri, teknologi, keusahawanan, kesihatan, pendidikan dan pembangunan komuniti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan komited untuk memansuhkan AUKU 1971, dengan rang undang-undang (RUU) baharu yang menggantikannya dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.
Kasim berkata UMS akan terus memperkukuh pengalaman pembelajaran mahasiswa menerusi keterlibatan industri, pembangunan kepimpinan, kemahiran digital, keusahawanan, dan pendedahan kepada cabaran sebenar masyarakat.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan graduan UMS bukan sahaja memiliki kelayakan akademik yang baik, malah berkeupayaan menyumbang secara berkesan selepas tamat pengajian.
Kasim berkata sebarang reformasi pendidikan tinggi perlu dilaksanakan secara teratur, inklusif dan seimbang dengan mengambil kira kepentingan mahasiswa, universiti, kerajaan, industri serta masyarakat.
“Pada akhirnya, ukuran kejayaan sesuatu reformasi pendidikan tinggi adalah sejauh mana ia membantu kita melahirkan graduan yang berkualiti dan memperkasakan modal insan,” katanya.
Beliau berkata seiring dengan slogan ‘The Brain of Borneo’, UMS komited menjadi pemacu ilmu, bakat, dan inovasi yang menyokong agenda Sabah Maju Jaya demi pembinaan negeri yang lebih maju, berdaya saing, serta sejahtera. — BERNAMA
































