Hannah Yeoh ketika ditemui pemberita pada Program Rintis Perkhemahan Keluarga di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, Rembau kelmarin.
REMBAU: Atlet yang sudah bersara daripada sukan masing-masing perlu diberi peluang untuk memegang jawatan dalam sesebuah persatuan sukan dan berkongsikan idea bagi mewakili atlet itu sendiri.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh berkata, selain dapat mewakili golongan atlet mereka juga tahu bagaimana untuk membangunkan sesuatu sukan tersebut di peringkat akar umbi.
“Itu sebab di peringkat Majlis Sukan Negara (MSN) ada buat kursus kepimpinan untuk melatih individu memimpin tapi kita sedar ada persatuan memerlukan dana, jadi mereka memilih tokoh korporat atau tokoh politik.
“Kita tidak boleh larang kerana yang boleh membantu kita galakkan (terajui kepimpinan sukan) tetapi untuk sesiapa pun yang memegang jawatan yang tinggi dalam persatuan, mereka yang mempunyai masa berkhidmat dan memegang konsep good governance wajar diberikan keutamaan dalam menerajui sesebuah persatuan sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Rintis Perkhemahan Keluarga di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, Hannah turut memaklumkan Pesuruhjaya Sukan (PJS) juga sudah mencadangkan agar persatuan sukan memberi peluang kepada golongan wanita untuk memimpin secara bersama-sama.
Menurutnya, kementerian tidak meletakkan sebarang syarat bagi mana-mana persatuan sukan dalam memilih individu yang bakal menerajui kepimpinan organisasi berkenaan.
“Sesiapa sahaja yang mempunyai minat, tanggungjawab, masa berkhidmat dan mempunyai idea untuk membawa persatuan ke hadapan, itu memang kita sarankan untuk pegang jawatan (persatuan sukan), bukan sahaja ahli politik.
“Saya tidak mahu persatuan sukan digunakan oleh ahli politik sebagai medan untuk berpolitik. Kita hendak sukan maju,” katanya sambil memberitahu amat penting dalam mewujudkan keseimbangan dalam persatuan sukan dengan gabungan orang muda, berpengalaman, wanita dan lelaki.