ATLANTA: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ditahan di penjara Georgia semalam selepas menyerah diri atas tuduhan melakukan kegiatan haram dan cubaan konspirasi membatalkan keputusan pilihan raya 2020 di negeri berkenaan.
Trump dibawa ke Penjara Fulton County selepas didakwa atas lebih 12 pertuduhan.
Menurut Utusan Malaysia, kes jenayah itu merupakan yang keempat melibatkan Trump tahun ini termasuk dakwaan rasuah, penyimpanan dokumen sulit negara secara haram dan penglibatan dalam serangan maut ke atas Kapitol AS.
Proses pendakwaan dijangka berjalan lancar kerana Trump dan peguamnya dilaporkan sudah membuat rundingan perjanjian bon.
Peguam Daerah Fulton, Fani Willis, menetapkan sehingga tengah hari ini untuk Trump dan 18 lagi individu yang turut terlibat dalam kes itu tampil menyerah diri.
Setakat ini, Trump dan 11 yang lain sudah menyerah diri manakala bekas Ketua Kakitangan White House, Mark Meadows yang menyerah diri semalam sudah dibebaskan dengan bon AS$100,000 (RM465,500).