Tangkap layar video pergaduhan yang tular di laman sosial antara penyokong Penang FC dan Kedah FC sebaik tamat perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang malam Selasa.
GEORGE TOWN: Beberapa video pergaduhan dipercayai membabitkan sekumpulan penyokong Kedah FC dan Penang FC selepas perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, di sini malam Selasa tular di lama sosial awal pagi kelmarin.
Insiden pergaduhan yang dirakam orang awam itu berlaku di luar pekarangan stadium sejurus perlawanan tamat, kira-kira pukul 11 malam.
Menurut Utusan Malaysia, satu video yang berdurasi satu minit 42 saat turut memaparkan provokasi di antara kedua-dua kumpulan penyokong sebelum berakhir dengan pergaduhan.
Pada perlawanan malam Selasa, Kedah FC berjaya menundukkan Penang FC 2-1 dalam aksi ‘derby’ utara yang berlangsung penuh hangat.
Difahamkan, insiden tercetus rentetan keputusan pengadil membatalkan gol kedua yang diledakkan kapten tuan rumah, Rafael Vitor pada minit ke-66 gara-gara berlaku kekasaran dalam kotak penalti.
Keputusan pengadil terbabit dikatakan turut mencetuskan ketegangan penyokong kedua-dua pasukan selain menyaksikan pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Adib Abdul Ra’op dibuang padang pada minit ke-76 selepas menerima layangan kad kuning yang kedua.
Pada 1 April lalu, media turut melaporkan insiden pergaduhan yang tular di media sosial dipercayai membabitkan sekumpulan penyokong Perak FC dan Penang FC selepas berakhir perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya.
Dalam kejadian itu, polis menahan tiga lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut.
Sementara itu, Ketu Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian pergaduhan malam tadi dalam masa terdekat.