Projek pembangunan di Nusantara giat dijalankan di Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur.
JAKARTA: Menteri Pelaburan, Bahlil Lahadalia memaklumkan, jutawan Sukanto Tanoto berhasrat membantu kerajaan pimpinan Joko Widodo (Jokowi) membangunkan sejumlah projek di Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara di Kalimantan Timur.
Menurut Utusan Malaysia, Bahlil berkata, Sukanto akan bergabung dalam Konsortium Pelaburan Dalam Negeri (PMDN) yang dipimpin oleh Sugianto Kusuma yang merupakan pengasas Agung Sedayu Group.
“Pembangunan di Nusantara akan dibantu sejumlah pihak termasuk Sugianto dan Sukanto serta banyak lagi,” kata Bahlil semasa menghadiri Majlis Menteri Ekonomi ASEAN di Semarang, Jawa Tengah.
Jelas Bahlil, antara projek yang akan dibangunkan kedua-dua jutawan itu termasuk hotel, kafe, dan kompleks olahraga.
Selain itu, Bahlil turut memaklumkan bahawa program pembangunan dan ‘groundbreaking’ akan dilakukan pada bulan depan.
Katanya, Jokowi akan menyertai majlis pecah tanah pertama di Nusantara.
Sukanto dilahirkan di Medan, Sumatera Utara pada 25 Disember 1949 dan merupakan anak pasangan perantau dari Putien di Fujian, China.
Beliau merupakan anak pertama dari tujuh adik-beradik dan menerima pendidikan di sekolah Cina, selain tidak pernah belajar basaha Indonesia secara formal.
Namun, beliau kini fasih berbahasa Indonesia dan karier perniagaannya bermula sejak 1967 sebagai pembekal alat ganti serta usahawan dalam perkhidmatan pembinaan untuk industri minyak.
Sukanto kemudiannya semakin dikenali sebagai Pengasas dan Pengerusi Royal Golden Eagle (RGE) yang terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan berasaskan papan lapis dan seterusnya berkembang dalam sektor pembangunan sumber tenaga.
RGE beroperasi di Indonesia, China, Brazil, Sepanyol.