Rithuan (empat dari kiri) memasang Jalur Gemilang di salah satu rumah penduduk tempatan semasa Aktiviti Berjalan 6600 Langkah Merdeka
LABUAN: Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang boleh menjadi medan bagi meneruskan perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan terdahulu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd. Ismail, Sambutan itu dilaksanakan bukan hanya bertujuan mencapai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) semata-mata.
“Penganjurannya bukan hanya sekadar satu program bagi mencapai satu KPI (Petunjuk Prestasi Utama) semata – mata, kita perlu melihat penganjuran serta penglibatan dalam program sebegini merupakan kesinambungan daripada kisah perjuangan tokoh – tokoh terdahulu.
“Anggaplah apa yang kita laksanakan pada hari ini sebagai amanah besar yang perlu kita pikul bersama sebagai kesinambungan dalam perjuangan memperoleh kemerdekaan.
“Kini kita wajib mempertahankan dan menghayati kemerdekaan ini dengan tindakan yang mampu menjadi benteng penjajahan bentuk baharu iaitu penjajahan pemikiran, budaya dan ekonomi,”katanya semasa merasmikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di sini semalam.
Beliau turut mengharapkan masyarakat tidak menggunakan platform media sosial sebagai ruang menyebarkan fitnah yang mampu menggugat perpaduan negara.
“Jauhilah segala perbuatan menjadikan media sosial sebagai wadah menyebarkan fitnah terutama terhadap individu, organisasi atau kaum-kaum tertentu Sebaliknya manfaatkan ia sebaiknya untuk menularkan kisah positif yang boleh meningkatkan perpaduan serta rasa cinta kepada negara,”jelasnya lagi.
Majlis itu turut diisi dengan pelbagai pengisian lain antaranya Senam seni Merdeka, Aktiviti Berjalan 6600 Langkah Merdeka, Pameran Agensi Kerajaan, pemeriksaan kesihatan, Pertandingan Mewarna Kanak kanak dan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang.