Hampir setiap hari penahanan dibuat melibatkan dadah di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.
TANGERANG: Jabatan Kastam dan Eksais Lapangan Terbang Soekarno-Hatta menahan seorang wanita hamil tujuh bulan selepas dikesan membawa dadah jenis syabu seberat lima kilogram.
Wanita itu merupakan rakyat asing.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Narkotik lapangan terbang tersebut, Syarif Hidayat berkata, wanita itu melakukan jenayah tersebut kerana menganggap keadaan fizikalnya boleh mengaburi mata petugas.
“Ramai yang beranggapan, jika wanita hamil, warga emas dan kanak-kanak tidak akan diperiksa di lapangan terbang kerana golongan itu sering diberi keutamaan.
“Tanggapan anda salah kerana kami akan periksa semua lapisan masyarakat bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.
“Sebelum ini, ada juga pihak tidak bertanggungjawab meletakkan dadah pada kanak-kanak dan itu pun kami periksa,” katanya.
Syarif memaklumkan, hampir setiap hari ada penahanan berkaitan dadah dibuat di lapangan terbang tersebut.
Katanya, ratusan tahanan dibuat dengan hampir 3.3 tan dadah dirampas.
“Kebanyakannya cuba menyeludup ganja, syabu dan ekstasi.
“Dadah itu diperoleh dari negara Golden Triangle, kemudian dibawa masuk ke Malaysia dan transit di Indonesia sebelum diedar ke negara lain.,” ujarnya.