Gulamhaidar menyempurnakan pelancaran aplikasi GoNet sambil diperhatikan oleh Jasnih (empat dari kanan) dan Jaffari (tiga dari kiri).
KOTA KINABALU: Kompleks Sukan Tun Adnan bergerak setapak lagi dengan peralihan kepada sistem tempahan secara dalam talian melalui aplikasi GoNet.
Majlis pelancaran aplikasi dalam talian ini disempurnakan oleh Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar di Arena Futsal, Kompleks Sukan Tun Adnan, bersebelahan Menara Tun Mustapha, Likas, di sini, hari ini.
Kompleks Sukan Tun Adnan diuruskan oleh Innoprise Capital Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Kumpulan Yayasan Sabah. Pada majlis tersebut, Kumpulan Yayasan Sabah melalui Innoprise Capital Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian perkhidmatan dengan GoNet Holdings Sdn. Bhd., bagi penggunaan aplikasi GoNet.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi Eksekutif, Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Datuk Jasnih Daya, Pengerusi Lembaga Pengarah Innoprise Capital Sdn. Bhd., Datuk Jaffari Walliam, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Innoprise Capital Sdn. Bhd., Ketua-ketua Bahagian dan Anak-anak Syarikat Kumpulan Yayasan Sabah.

Gulamhaidar (berdiri, dua dari kiri) dan Jasnih (berdiri, dua dari kanan) menyaksikan Jaffari (duduk, dua dari kiri), Ong, Dr. James dan Evelyn menandatangani dokumen perjanjian perkhidmatan.
“Kumpulan Yayasan Sabah melalui anak syarikat milik penuhnya, Innoprise Capital Sdn. Bhd., hari ini melancarkan aplikasi GoNet bagi membolehkan tempahan fasiliti dan kemudahan sukan di Kompleks Sukan Tun Adnan dibuat secara dalam talian.
“Pelancaran sistem ini juga merupakan usaha pendigitalan Kumpulan Yayasan Sabah bersama GoNet Holding Sdn. Bhd., untuk menaiktaraf sistem tempahan daripada secara manual kepada sistem tempahan secara dalam talian dan sistem bayaran tanpa tunai menerusi aplikasi GoNet,” kata Jaffari.
GoNet Holding Sdn. Bhd. ialah syarikat Teknologi Kewangan (Fintech) pertama yang membekalkan perkhidmatan tempahan sukan secara dalam talian dan mempunyai lesen daripada Bank Negara Malaysia bagi pengeluar e-wallet bukan bank yang diluluskan serta dilesenkan untuk melaksanakan kutipan pembayaran dan transaksi wang secara dalam talian.
“Menerusi perkhidmatan tempahan dalam talian ini, pelanggan dapat menjimatkan masa kerana tempahan boleh dibuat melalui aplikasi GoNet pada bila-bila masa dan dari mana-mana sahaja,” katanya lagi.

Gulamhaidar (tiga dari kiri) dan Jasnih (tiga dari kanan) menyaksikan Jaffari (dua dari kiri) dan Dr. James (dua dari kanan) menunjukkan dokumen yang telah ditandatangani.
“Penggunaan sistem tempahan secara dalam talian ini adalah satu usaha dan perubahan bagi menambah baik tadbir urus kerja mengikut arus pemodenan teknologi masa kini. Oleh itu, pendekatan ini secara langsung menyokong usaha kerajaan negeri dengan penggunaan teknologi maklumat dalam perkhidmatan fasiliti sukan di Sabah,” tambah Jaffari.
Dengan termeterainya Perjanjian Perkhidmatan selama lima tahun antara Kumpulan Yayasan Sabah melalui Innoprise Capital Sdn. Bhd. dan GoNet Holding Sdn. Bhd., aplikasi tempahan dalam talian ini diharapkan dapat melancarkan proses tempahan kemudahan sukan kerana para pengguna hanya memerlukan rangkaian internet untuk membuat tempahan bila-bila masa sahaja.
Sistem ini juga adalah usaha Kumpulan Yayasan Sabah dalam memaksimumkan penggunaan fasiliti dan kemudahan sukan di Kompleks Sukan Tun Adnan dan menjadikan sistem pengurusan tempahan dan bayaran semakin efektif dan proaktif serta dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada pengguna.
Dalam majlis itu, Kumpulan Yayasan Sabah diwakili oleh Jaffari dan Setiausaha Syarikat Innoprise Capital Sdn. Bhd., Ong Cheau Ying sebagai saksi, manakala GoNet Holdings Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusan, Dr. James Yong Chau Leong dan Pengarah GoNet Holdings Sdn. Bhd., Evelyn John Ganjos sebagai saksi.































