RANAU: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang setelah tidak kembali ke rumah sejak keluar memburu di hutan hampir sebulan setengah lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib memberitahu, mangsa yang berusia 62 tahun itu dikatakan telah keluar rumah dan masuk ke dalam hutan untuk tujuan memburu pada 21 Jun, 2023.
Katanya, kejadian berlaku di Kampung Pahu Kaingaran, yang terletak 66 kilometer dari Pekan Ranau, pada kira-kira jam 7.54 pagi.
“Bilik kawalan BBP Ranau menerima panggilan orang hilang dalam hutan dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Ranau pada 2 Ogos 2023 jam 8.05 pagi dan sepasukan lima anggota diketuai Komander Operasi, PBK I Derin Maridum dihantar ke lokasi itu.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat lengkap dari ahli keluarga mangsa dan lokasi terakhir mangsa dilaporkan telah memasuki hutan.
“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR), yang turut disertai anggota polis, APM dan orang awam itu memulakan pencarian mangsa bermula dari lokasi hutan yang mangsa dilaporkan masuk,” kata beliau.
Kata Ridwan, hari kedua operasi SAR hari ini dijalankan sehingga radius 3-5 kilometer per segi, namun mangsa belum berjaya ditemui.