Ahmad Zahid Hamidi (lima kanan) menyampaikan anugerah kepada wakil salah sebuah koperasi di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Gerakan koperasi negara perlu bergerak secara bersepadu menerusi pembentukan satu gabungan atau federasi untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembentukan federasi bagi sektor koperasi mempunyai potensi besar yang akan membantu pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, pada tahun lalu, aktiviti ekonomi gerakan koperasi negara yang kini berjumlah 15,315 koperasi telah berjaya menjana perolehan perniagaan berjumlah RM45.5 bilion.
“Pencapaian itu membolehkan gerakan koperasi menjadi penyumbang ketiga kepada ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta.
“Justeru, saya menyarankan agar gerakan koperasi negara untuk bergerak secara bersepadu bagi membantu kerajaan dalam agenda menoktahkan kemiskinan tegar sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya semasa majlis penutupan Bulan koperasi kebangsaan, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, kerajaan yakin jika koperasi-koperasi di negara ini bergabung melalui federasi, jaminan keselamatan makanan negara akan diperkukuhkan seterusnya, ia dapat mengimbangi kos harga makanan yang semakin meningkat.
Beliau berkata, model perniagaan melalui penggabungan koperasi bukan hanya dapat meningkatkan keupayaan pengeluaran produk dan perkhidmatan gerakan koperasi melalui ‘economies of scale’ malah, ia boleh memendekkan rantaian bekalan dengan mengurangkan peranan dan penglibatan orang tengah.
Ketika ini, gerakan koperasi negara mempunyai seramai 7.3 juta ahli berdaftar dengan jumlah modal syer dan yuran terkumpul sebanyak RM16.5 bilion.
Mengulas lanjut katanya, jika dilihat gabungan koperasi pertanian di Korea iaitu Federasi Koperasi Pertanian Kebangsaan (NACF), ia dianggotai 1,118 koperasi dengan gabungan keahlian seramai 2.1 juta petani.
Federasi yang diwujudkan menyokong koperasi anggota dengan menyediakan sistem koperasi untuk petani Korea yang majoritinya mengalami masalah kapasiti pengeluaran yang lemah dan sumber kewangan yang tidak mencukupi.
Namun, federasi tersebut berjaya memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Korea dan berkembang menjadi salah satu koperasi paling berjaya di dunia.