Gulamhaidar (tiga dari kiri), Frederick (dua dari kiri) dan Dr. Glen (dua dari kanan) menunjukkan dokumen yang ditandatangani sambil disaksikan oleh Abidin (empat dari kiri) dan David (tiga dari kanan). Turut dalam gambar ialah Hanafiah (empat dari kanan), Dr. Waidi (kiri) dan Henry (kanan).
KOTA KINABALU: Dalam usaha untuk mengukuhkan komitmennya terhadap penyelidikan hutan yang berimpak tinggi, Kumpulan Yayasan Sabah hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (Lanjutan) dengan South East Asia Rainforest Research Partnership (SEARRP) untuk Program Penyelidikan dan Latihan Lembah Danum.
Menandatangani bagi pihak Kumpulan Yayasan Sabah ialah Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar dan Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman sebagai saksi, manakala Jawatankuasa Pengurusan Lembah Danum (DVMC) diwakili oleh Pengerusinya merangkap Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan dan Pengurus Kumpulan Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar Kumpulan Yayasan Sabah merangkap Setiausaha DVMC, Dr. Waidi Sinun sebagai saksi. SEARRP diwakili oleh Pengarahnya, Datuk Dr. Glen Reynolds dan Lembaga Pemegang Amanah SEARRP, Dato’ Henry Barlow sebagai saksi.
Majlis penandatanganan perjanjian persefahaman yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini itu disaksikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir dan Konsul Kehormat British Sabah, David Powell.
Dalam ucapannya Abidin berkata, Program Penyelidikan dan Latihan Hutan Hujan Tropika Lembah Danum telah dijalankan sejak 1984 sebagai sebahagian daripada usaha kerjasama antara Kumpulan Yayasan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Universiti Kebangsaan Malaysia Sabah dan The Royal Society, United Kingdom.
“Sejak itu, tujuh Memorandum Persefahaman telah ditandatangani bagi meneruskan program kolaborasi tersebut.
“Dalam pemeteraian MoU kali ketujuh (2015 – 2020), The Royal Society diwakili oleh SEARRP untuk mengawal selia Program Penyelidikan Hutan Hujan Tropika Asia Tenggara, yang berpusat di Kawasan Konservasi Lembah Danum (DVCA),” jelas Abidin.
Tambahnya, seperti mana MoU yang telah ditandatangani sebelum ini, MoU ini bertujuan untuk melatih para saintis muda Sabah dalam penyelidikan alam sekitar tropika untuk menyumbang kepada pembangunan sains Hutan Hujan Tropika Asia Tenggara, pengurusan hutan dan strategi pemuliharaan, yang melibatkan lebih daripada 140 penyelidik antarabangsa.
“Melalui program ini, sebanyak 750 jurnal telah diterbitkan oleh pakar sains Danum dan SEARRP dan lebih daripada 120 PhD dan tesis Sarjana telah siap atau dalam proses penyiapan,” katanya lagi.
Abidin turut memuji inisiatif yang diambil oleh organisasi-organisasi yang terlibat dalam menyediakan peluang untuk penyelidikan dan latihan sains hutan hujan yang merupakan intipati utama dalam melahirkan pakar saintis generasi baharu yang mampu menyelesaikan isu-isu kompleks berkaitan pemuliharaan dan pengurusan hutan hujan.
“Para saintis muda di Sabah akan memajukan amalan kelestarian dan penggubalan dasar apabila menyandang jawatan kepimpinan atau pengurusan tinggi di peringkat agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan universiti,” katanya dengan penuh keyakinan.
Menyedari kepentingan penyelidikan dalam memahami ekologi hutan dan pengurusan sumber mampan, penyediaan petak penyelidikan jangka panjang seperti petak 50 hektar dan dinamik hutan jangka panjang dapat membantu memajukan pemahaman kita terhadap ekosistem hutan tropika, tambah beliau.
DVCA telah dipilih sebagai pusat kajian kedua paling berpengaruh di dunia semasa Annual Conference of the Society for Tropical Ecology pada tahun 2015 dan ianya juga diiktiraf sebagai kawasan hutan bernilai tinggi untuk kajian ekosistem hutan hujan tropika.
“Lembah Danum telah mengumpul banyak maklumat saintifik sejak empat dekad yang lalu bagi pembangunan aktiviti pelancongan mampan dan pendekatan pemanfaatan yang tidak memusnahkan hutan hujan tropika. Oleh itu, kita mesti mengiktiraf usaha yang telah menyumbang kepada penubuhan Borneo Rainforest Lodge,” kata Abidin.
Kumpulan Yayasan Sabah melalui DVMC, komited untuk memperluas rangkaian penyelidikan dengan organisasi rangkaian global untuk mencapai impak yang berkesan dalam menangani kerumitan alam sekitar. Ini terbukti melalui kerjasama rapat dengan Universiti Kyoto dalam program penyelidikan Orang Utan.
“Saya yakin MoU ini bakal mendorong aktiviti penyelidikan dan latihan di DVCA dan akan menyumbang kepada kemajuan saintifik dan pembangunan strategi pemulihan berkesan dalam berdepan dengan cabaran dan ancaman perubahan iklim,” katanya.
Pada majlis itu, Abidin turut melancarkan buku bertajuk ‘Water and The Rainforest in Malaysian Borneo: Hydrological Research at the Danum Valley Field Centre’ oleh Profesor Ian Douglas, mengisahkan tiga puluh tahun pengajian hidrologinya di DVCA.
Acara disusuli dengan seminar Program Penyelidikan dan Latihan Lembah Danum yang disertai oleh 80 penyelidik dari pelbagai jabatan, agensi, organisasi dan institusi termasuk Kumpulan Yayasan Sabah, Universiti Teknologi MARA Sabah, Universiti Malaysia Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, World Wide Fund for Nature Malaysia, dan lain-lain.
Seminar tersebut bertujuan untuk menekankan usaha penyelidikan dan latihan di DVCA untuk pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan mampan.





























